USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BERMIMPI BIAR TINGGI, NAMUN TETAPLAH BERPIJAK DI BUMI - PEMENANG ANUGERAH PINGAT EMAS NAIB CANSELOR USM

NIBONG TEBAL, 24 November 2024 – Graduan Kejuruteraan Elektrik, Syed Muhammad Zakwan Syed Zaman, melakar sejarah peribadi apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pingat Emas Naib Canselor sempena Upacara Konvokesyen Ke-62 Universiti Sains Malaysia (USM).

DSC 4801

Berusia 24 tahun, Zakwan memulakan perjalanan akademiknya di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Menteri (2013–2017), sebelum menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (2018–2020).

Anak kepada seorang pesara dan seorang ibu yang menjalankan perniagaan sendiri ini kemudian menyambung Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik di USM Kampus Kejuruteraan pada tahun 2020 yang lalu, seterusnya menjadi salah seorang graduan pada Sidang 10 konvokesyen tahun 2024.

Dilahirkan pada 26 Februari 2000 di Taiping, Perak, Zakwan merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik, menyifatkan anugerah yang diterima sebagai satu pengiktirafan yang sangat bermakna kepada beliau.

“Saya amat bersyukur atas penghormatan serta penganugerahan yang diberikan ini.

“Ianya adalah hasil daripada usaha gigih serta sokongan tidak berbelah bahagi, khususnya daripada keluarga dan rakan-rakan,” ujarnya.

Zakwan turut berkongsi cabaran terbesar sepanjang pengajian beliau untuk membahagikan masa antara tanggungjawab sebagai pemimpin pelajar dan komitmen dalam hal ehwal akademik yang dapat diatasinya melalui disiplin diri serta pengurusan masa yang berkesan.

“Saya pastikan ada keseimbangan antara akademik dan kokurikulum dengan menetapkan keutamaan yang jelas tanpa perlu menjejaskan prestasi pelajaran,” katanya.

Beliau turut menekankan pentingnya untuk sentiasa berfikiran positif dalam mengharungi cabaran kerana untuk mencapai kejayaan, seseorang itu perlu berani bermimpi besar, namun tetap berpijak di bumi nyata.

467695445 1036674955165920 3925085669991223678 n   467851565 1036674941832588 603909721111374950 n

Zakwan kini merancang untuk menceburi dunia pekerjaan, seterusnya menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh sepanjang pengajiannya untuk memberi sumbangan kepada masyarakat serta negara terutamanya dalam bidang kejuruteraan elektrik.

“Apatah lagi dengan pengalaman menyertai persatuan pelajar selama empat tahun pengajian di USM yang telah banyak mengajar saya akan kemahiran kepimpinan sambil membina rangkaian hubungan baik dengan rakan-rakan dan para pensyarah,” katanya.

Zakwan menerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor sebagai pengiktirafan di atas tokoh kepimpinan beliau yang cemerlang sepanjang bergelar pelajar, antaranya, beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kampus Kejuruteraan USM.

467623578 1036675045165911 56757087279079351 n   467840331 1036674915165924 6107404700587650224 n

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman & MPRC USM

  • Created on .
  • Hits: 270

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024