“JADILAH AGEN PERUBAHAN YANG MAMPU MEMBERI IMPAK POSITIF KEPADA PEMBANGUNAN NEGARA,” KATA PRO-CANSELOR DALAM SIDANG KEEMPAT BELAS
USM PULAU PINANG, 26 November 2024 – Upacara Konvokesyen ke-62 Universiti Sains Malaysia (USM) diteruskan lagi pada pagi ini, dengan berlangsungnya Sidang Keempat belas yang dipengerusikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan.
Dalam ucapannya, Zulkefli merakamkan ucapan TAHNIAH dan SYABAS kepada sejumlah 732 graduan Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Matematik, Seni dan Teknologi Industri.
Katanya, “Hari ini, kami meraikan pencapaian gemilang anda sebagai graduan Universiti Sains Malaysia; kumpulan graduan yang terhasil dari sebuah institusi yang berpegang teguh kepada falsafah kecemerlangan ilmu.
“Dalam perjalanan akademik, anda telah mengumpulkan pengetahuan yang mendalam dan kepakaran khusus yang bakal menjadi aset berharga.”
“Dalam dunia hari ini yang penuh dengan cabaran, memiliki ilmu asas sahaja tidak mencukupi. Kepakaran khusus yang ada pada anda semua, sama ada dalam bidang sains matematik, seni mahu pun teknologi industri, akan lebih melengkapkan diri anda untuk menangani isu-isu yang kompleks, menjadikan anda sebagai agen perubahan yang berupaya menyumbang kepada pembangunan negara,” tambah beliau.
“Dalam semua bidang yang ada, ianya memerlukan individu yang bukan hanya memahami teori, tetapi juga mampu menerapkannya untuk mencari penyelesaian terhadap isu global yang pelbagai,” kata Zulkefli lagi.
Namun begitu menurutnya, “Kehebatan seorang graduan tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik atau teknikal semata-mata. Aspek kepimpinan, integriti, dan etika memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan jangka panjang. Anda bukan sahaja perlu menjadi pemimpin yang berwibawa, tetapi juga individu yang menjunjung nilai-nilai murni.”
Katanya lagi, “Dengan penyelidikan dan pengalaman yang telah anda peroleh di universiti ini, kami percaya, anda kini bersedia untuk menyumbang kepada masyarakat dengan menghasilkan sesuatu yang relevan dan praktikal, sejajar dengan keperluan semasa dan masa depan.”
“Selepas menamatkan pengajian ini, fikirkan untuk melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi atau mengikuti kursus kemahiran untuk meningkatkan lagi kemahiran serta kebolehpasaran anda. Dengan bidang ilmu yang berkembang pesat, adalah penting untuk terus belajar dan menambah nilai kepada diri sendiri,” tambah beliau.
Seterusnya kata Zulkefli, “Selain daripada itu, keupayaan anda semua untuk menyesuaikan diri dengan teknologi baru dan kemahiran terkini akan turut memberikan anda kelebihan kompetitif yang signifikan.
“Tidak kira ke mana anda pergi atau bidang apa pun yang anda ceburi, bawa bersama semangat untuk menghasilkan impak positif yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.”
“Sentiasa ingat, kejayaan yang sejati adalah apabila anda dapat membawa perubahan yang bermakna dan meninggalkan legasi serta warisan yang dapat memanfaatkan masyarakat.
“Saya berharap setiap daripada anda yang diraikan hari ini terus menjadi individu yang cemerlang dalam kerjaya, yang terus menyumbang kepada masyarakat,” katanya sebelum mengakhiri ucapan.
Beliau juga mengingatkan para graduan agar tidak lupa kepada segala sokongan dan dorongan dari ibu bapa dan pelbagai pihak yang telah membantu mereka mencapai kejayaan ini.
Hadir bersama dalam Sidang Keempat belas ini adalah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Timbalan-timbalan Naib Canselor; ahli-ahli Senat USM; serta pegawai-pegawai utama universiti.
Upacara Konvokesyen ke-62 USM kini sedang dilangsungkan bermula dari 19-26 November 2024 di Kampus Induk USM.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: MPRC USM
- Created on .
- Hits: 252