SIDANG KE-13: “FAHAMI DAN SOKONG USAHA MEMBANGUNKAN SEKTOR EKONOMI DAN SOSIAL DALAM NEGARA DEMI KEHARMONIAN DAN KESEJAHTERAAN MASYARAKAT,” UJAR PRO-CANSELOR
USM PULAU PINANG, 25 November 2024 – Upacara Konvokesyen ke-62 Universiti Sains Malaysia (USM) Sidang Ketiga belas diteruskan lagi pada petang ini yang dipengerusikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan.
“Tahniah dan syabas,” beliau ucapkan kepada kesemua 661 graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan.
Zulkefli memulakan ucapannya dengan berkata, “Hari ini merupakan tanda simbolik satu pencapaian yang amat besar dalam kehidupan anda. Usaha yang tidak mengenal erti lelah, kesungguhan yang tekun dan tulus, serta komitmen tinggi yang telah dicurahkan, membuktikan bahawa setiap pengorbanan tidak pernah sia-sia.”
“Pencapaian ini adalah refleksi kepada perjalanan panjang anda yang pastinya penuh dengan cabaran dan rintangan, dan para graduan semua sudah tiba di garis penamat ini dengan jayanya.”
Seterusnya kata beliau, “Sebagai graduan Sarjana dan Sarjana Muda dari pelbagai bidang pengajian, anda semua telah dibekalkan dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang akan mengiringi anda untuk menghadapi dunia luar yang sudah semestinya penuh dengan cabaran.”
“Bagi graduan dari bidang Perniagaan, anda bertanggungjawab untuk merangka strategi dan inovasi dalam usaha menaikkan ekonomi negara, di samping memacu perkembangan industri-industri di negara kita, khususnya dalam bidang teknologi, pembuatan, dan perkhidmatan, yang dapat menyumbang kepada kemajuan ekonomi yang lebih lestari.
“Graduan dari bidang Sains Kemasyarakatan pula, menggalas peranan yang amat penting dalam memahami dan mengendalikan masalah sosial yang dihadapi oleh komuniti, seperti isu kemiskinan, pendidikan, hingga ke kesihatan awam, bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, “Sebagai graduan, anda membawa nama baik universiti serta prinsip-prinsip teras seperti integriti, kecemerlangan, ketekunan, dan tanggungjawab sosial ke mana sahaja anda pergi.
“Tanggungjawab kini berada di tangan anda untuk meneruskan legasi kecemerlangan ini, serta menjadi contoh yang baik kepada orang lain, dan menginspirasi generasi akan datang.
“Dunia yang sentiasa berubah menawarkan pelbagai peluang dan cabaran yang memerlukan usaha berterusan, keberanian, dan semangat untuk terus maju.”
“Ijazah yang anda terima bukan hanya simbol pencapaian akademik, tetapi juga cerminan kekuatan peribadi anda. Anda telah buktikan bahawa dengan usaha, tekad, dan semangat yang tinggi, tiada halangan yang mustahil untuk diatasi,” kata Zulkefli.
“Ingat dan jadikanlah setiap langkah anda selepas ini sebagai peluang untuk memberikan impak, membina hubungan bermakna, dan memanfaatkan ilmu yang telah anda pelajari demi kebaikan bersama,” katanya lagi.
Beliau mengingatkan para graduan bahawa, sebagai alumni Universiti Sains Malaysia, sentiasalah kembali untuk menyumbang balik, dengan berkongsi pengalaman dan ilmu dengan generasi seterusnya di ‘alma mater’ tercinta kita ini.
“Universiti mempunyai pelbagai program pelajar dan masyarakat khususnya golongan B40, yang mana memerlukan penglibatan alumninya; anda semua boleh menyokong dan memberi sumbangan secara sukarela sama ada dari segi masa, fikiran, tenaga, ilmu pengetahuan mahupun wang ringgit kepada universiti bagi meneruskan pembangunan universiti.”
Mengakhiri ucapannya, Zulkefli berpesan agar tidak melupakan sokongan dan dorongan kesemua pihak – ibu dan ayah, pasangan masing-masing dan anak-anak, serta staf USM yang berkhidmat di pelbagai bahagian – dalam memastikan usaha para graduan mencapai kejayaan.
Hadir bersama dalam Sidang Ketiga belas ini adalah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; ahli Lembaga Gabenor USM; Timbalan-timbalan Naib Canselor; ahli-ahli Senat USM; serta pegawai-pegawai utama universiti.
Upacara Konvokesyen ke-62 USM kini sedang dilangsungkan bermula dari 19-26 November 2024 di Kampus Induk USM.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: MPRC USM
- Created on .
- Hits: 209