USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IBU SANGGUP BELAJAR BRAILLE DEMI LIHAT ANAK KESAYANGAN GENGGAM IJAZAH

PULAU PINANG, 22 November 2024 - Teoh Zan Feng, 24, graduan kelainan upaya USM menjadi tumpuan sempena Upacara Konvokesyen ke-62 Universiti Sains Malaysia (USM) apabila membuktikan kekurangan diri bukan penghalang menggenggam ijazah.

Malah, beliau yang juga anak tunggal kepada pasangan Alvin Teoh, dan Goh Bee Hiang, turut membuktikan keupayaannya untuk berdikari dan tinggal di asrama USM walaupun kediaman ibu bapanya juga adalah di Pulau Pinang.

ac850c69 a7ad 46f1 a77d e16ed3daccb0

Zan Feng atau lebih mesra disapa dengan nama Ernest berkata, beliau sememangnya mahu tinggal di asrama memandangkan lebih mudah untuknya bergaul dengan rakan-rakan sekuliah dan dapat merasai kehidupan dalam kampus.

“Saya lebih mudah untuk mengikuti kelas secara fizikal, tambahan pula kemudahan yang disediakan untuk golongan kelainan upaya amat baik di USM, ditambah pula dengan kemuliaan hati rakan-rakan yang tidak lokek menghulur bantuan.

“Saya amat berterima kasih kepada kedua ibu bapa kerana sentiasa menjadi pendokong kuat untuk saya menamatkan pengajian. Tanpa sokongan padu mereka saya mungkin tidak akan mampu sampai ke tahap ini,” jelasnya.

4eac1ba1 9e86 4794 8437 af933d7c99d5

Beliau yang turut menyuarakan hasrat untuk menyambung pengajiannya ke peringkat sarjana juga berterima kasih kepada semua pihak yang telah membantunya termasuk pengurusan USM, para pensyarah dan juga rakan-rakan sekuliah.

Dalam pada itu, ibu Zan Feng yang juga surirumah berkata, anaknya yang disahkan buta sehari selepas dilahirkan menjadi kekuatan untuk beliau dan suami meneruskan kehidupan, sama seperti ibu bapa lain.

“Kami tidak mahu beliau tersisih kerana kekurangannya. Saya mengambil keputusan untuk tidak bekerja dan sentiasa bersamanya dalam proses pembesarannya, termasuk mempelajari braille bagi memudahkan saya mengajarnya di rumah,” tegasnya.

Tambah beliau, Zan Feng juga pernah dilepaskan mengikuti kem mobiliti di Amerika Syarikat selama 6 bulan, berdikari sepenuhnya di bawah jagaan keluarga angkat di sana dan menyertai pelbagai program khas bersama rakan-rakan normal yang lain.

“Saya sebolehnya mahu memberi yang termampu buat anak saya. Dialah satu-satunya anak kami dan saya mahu dia membesar dengan normal dan bergaul dengan semua orang,” ujar ibunya.

INSPIRASI DARI TUMPAT: PELAJAR OKU HEBAT DENGAN KAKI PALSU

Manakala bagi Nor Elisha Mohd Zaini dari Tumpat, Kelantan, anak kedua daripada lima beradik, kisah perjuangannya tidak kurang hebat apabila berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh tiga tahun setengah walaupun berstatus pelajar kelainan upaya (PKU).

0bb43372 4158 43e1 a210 1a8340418614

Nor Elisha, graduan Ijazah Sarjana Muda dengan pengkhususan dalam Sastera dan minor Bahasa Malaysia, dilahirkan tanpa kaki dan kini menggunakan kaki palsu. Sepanjang pengajian di USM, beliau mendapat sokongan daripada ibu bapa, kawan-kawan, dan bantuan khas bagi memudahkan pergerakan.

“Cabaran terbesar saya sepanjang pengajian adalah untuk menaiki bas yang disediakan kerana sentiasa penuh untuk ke kuliah. Namun, inisiatif oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) untuk pelajar PKU dengan pemberian basikal elektrik telah sangat membantu saya,” jelas Nor Elisha.

Beliau turut menasihatkan pelajar PKU yang mendapat tawaran pengajian di USM agar tidak mudah berputus asa.

“USM menyediakan banyak inisiatif dan sentiasa prihatin terhadap keperluan pelajar OKU. Pihak pengurusan juga cakna dengan isu-isu yang diutarakan bagi memudahkan pengajian kami,” tambahnya.

Momen paling berharga bagi beliau adalah apabila menerima Anugerah Dekan sepanjang pengajian, yang membakar semangatnya untuk terus maju ke peringkat lebih tinggi.

533f492b 10e3 44c2 b3ef 7d2391761425

“Masa hadapan, saya merancang untuk menyambung pengajian di peringkat Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI). Jika ada rezeki, saya ingin kembali ke USM untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana,” katanya penuh harapan.

Kisah kejayaan Teoh Zan Feng dan Nor Elisha menjadi bukti bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk meraih kejayaan di peringkat universiti. Semangat juang kedua-dua graduan ini wajar menjadi inspirasi kepada semua.

Teks: Marziana Mohamed Alias, Shafinaz Md Ismail/Foto: Jurufoto MPRC

  • Created on .
  • Hits: 203

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024