USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

749 GRADUAN KEJURUTERAAN TAMAT PENGAJIAN, DIRAIKAN SEMPENA UPACARA KONVOKESYEN KE-62 USM

468144423 1039976118169137 3418448642753635269 n

USM PULAU PINANG, 24 November 2024 – Seramai 749 graduan kejuruteraan diraikan dalam Sidang 10 Upacara Konvokesyen ke-62 Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) di sini hari ini.

Graduan yang bergraduasi merupakan mereka dari enam pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, serta Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik.

Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin, ketika ditemui mengucapkan tahniah kepada semua graduan kejuruteraan dan beliau turut berbangga atas kejayaan mereka menamatkan pengajian pada konvokesyen kali ini.

“Alumni yang saya kasihi, pada setiap peringkat kehidupan anda, teruskan melangkah ke hadapan, ibarat apabila anda tiba di puncak sebuah gunung, akan ada puncak lain yang menanti untuk didaki, ianya merupakan satu simbolik kepada perjalanan kita yang tidak akan pernah berhenti,” ujar beliau.

“Dalam usaha mencapai kejayaan, janganlah kita lupa untuk sentiasa merendah diri dan percayalah bahawa kehidupan anda adalah sebuah cerita yang anda tulis sendiri. Oleh itu, tulislah dengan baik dan perbaikilah ia dari semasa ke semasa.

“Yang paling penting, walau apa pun cabaran yang mendatang, temukan kekuatan dan ketabahan dalam diri anda, semoga anda semua akan berjaya dalam setiap langkah yang anda ambil,” nasihat Azlina.

468211650 1039974738169275 7806059390919245405 n

Sementara itu, beliau turut berharap agar para graduan bersedia, kerana para majikan di luar sana sedang menanti sumbangan dan bakat mereka sebagai jurutera dalam pelbagai bidang kejuruteraan ini.

“Ingatlah juga bahawa kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui pencapaian peribadi anda sebagai individu, tetapi juga impak yang akan diwujudkan dalam kalangan masyarakat dan persekitaran anda selepas ini,” kata Azlina.

“Saya juga ingin menekankan betapa pentingnya etika dan integriti dalam anda membina kerjaya kelak, yang mana kedua-duanya adalah tunjang kepada kejayaan jangka panjang dalam mana-mana bidang kerjaya profesional.

“Oleh itu, sentiasalah dijadikan pegangan kerana ia adalah cerminan kepada kredibiliti diri serta komitmen masing-masing tentang nilai tanggungjawab itu sendiri,” tambah Azlina.

468294955 1039975304835885 5788830012441989854 n

Sidang ke-10 hari ini adalah sebahagian daripada 15 sidang sempena Upacara Konvokesyen ke-62 USM yang berlangsung dari 19 November hingga 26 November 2024, yang menyaksikan secara keseluruhannya 8,971 graduan diraikan.

Teks: Siti Faizah Abd Halim

  • Created on .
  • Hits: 308

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024