PROSES PENAMAAN CALON PEMILIHAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR USM SA 2024/2025 BERJALAN LANCAR
USM PULAU PINANG, 13 November 2024 – Majlis Penamaan Calon layak bertanding bagi Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) Sidang Akademik (SA) 2024/2025 telah berlangsung pada jam 6:00 petang kelmarin bertempat di Kampus Induk USM.
Majlis pengumuman calon layak bertanding yang dijalankan dengan serba ringkas itu telah dipengerusikan oleh Elvister Empading Anak Laman.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MPP SA 2024/2025 turut dibantu oleh seramai 60 ahli jawatankuasa dari Kampus Induk dan 30 orang ahli jawatankuasa dari Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan.
Pelbagai persiapan awal telah dilakukan oleh Jawatankuasa Pemilihan MPP SA 2024/2025 antaranya ialah menyediakan hebahan garis masa kepada pelajar USM mengenai tarikh-tarikh penting bermula dari notis pemilihan MPP dikeluarkan sehinggalah kepada pengumuman keputusan yang dijadualkan pada 18 November 2024 nanti.
Pada majlis tersebut, calon MPP yang layak bertanding juga telah melafazkan Aku Janji Calon Bertanding MPP sebelum bermulanya tempoh kempen yang dibenarkan. Turut diumumkan ialah senarai calon tidak layak bertanding dan calon yang menang tanpa bertanding.
Turut diselitkan ialah taklimat mengenai Tatacara Pemilihan MPP SA 2024/2025 yang disampaikan oleh Syahindah bagi memberi kefahaman kepada calon-calon mengenai proses dan peraturan-peraturan berkempen.
![]() |
![]() |
Selari dengan penubuhan Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP) pada 14 Oktober 2024 yang lalu, dimaklumkan bahawa segala proses pemilihan MPP USM adalah termaktub di bawah Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU), Perlembagaan Universiti, Mesyuarat Dasar Pemilihan MPP USM, dan Tatacara Pemilihan MPP USM.
Tempoh berkempen mula dijalankan pada 12 November 2024 sehingga 17 November 2024 11:59 malam.
Teks: Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP)/Suntingan: Hafiz Meah Ghouse Meah, Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA, USM
- Created on .
- Hits: 270