USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PRO-CANSELOR - GRADUAN MEMPUNYAI PERANAN MAJUKAN MASYARAKAT DAN NEGARA SECARA INKLUSIF BERBANTUKAN INOVASI DAN TEKNOLOGI DIGITAL MASA KINI

USM PULAU PINANG, 23 November 2024 – Upacara diteruskan lagi pada petang ini, dengan penyampaian ijazah kepada para graduan di Sidang Kesembilan, Konvokesyen ke-62 Universiti Sains Malaysia (USM).

Sidang petang ini dipengerusikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, yang menyampaikan ijazah kepada 650 graduan dalam bidang Sains Kemasyarakatan dan Sains Komputer.

468221591 1039804501519632 2933576959816148495 n

Dalam ucapannya, Ahmad Tajuddin berkata bahawa bidang Sains Komputer telah menjadi tulang belakang kepada inovasi teknologi yang pesat berkembang dalam kehidupan harian kita.

“Bidang ini berperanan besar dalam mempertingkatkan kecekapan, produktiviti, dan daya saing negara di peringkat global, yang bermula daripada kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) dan pembelajaran mesin (Machine Learning) sehinggalah kepada keselamatan siber.

“Oleh itu, sebagai graduan Sains Komputer, anda memegang kunci kepada kemajuan digital yang mampu merubah landskap ekonomi dan sosial negara,” katanya.

468150059 1039805128186236 5881811383807643446 n

Seterusnya kata Ahmad Tajuddin, dalam keghairahan meneroka dunia teknologi, kita tidak boleh sesekali mengabaikan kepentingan bidang Sains Kemasyarakatan, kerana bidang ini memberi kefahaman tentang manusia dan masyarakat dalam konteks yang lebih luas.

“Dengan kefahaman ini, kita dapat menyusun strategi yang lebih inklusif untuk membina negara yang lebih harmoni,” katanya lagi.  

Tambahnya, dalam menghadapi dunia yang ‘Volatile, Uncertain, Complex and Ambiguous’ atau VUCA ini, para graduan akan berhadapan dengan pelbagai dilema dan cabaran yang amat mendesak.

“Di sinilah para graduan perlu memainkan peranan sebagai penggerak utama dalam pembangunan ekonomi, sosial, serta politik negara. Gunakan pengetahuan yang telah anda peroleh di universiti sebagai pemangkin untuk mempelopori perubahan serta mencipta impak positif.”

468143583 1039804134853002 5095001035708030526 n

Menurut beliau lagi, “Anda mempunyai tanggungjawab yang besar untuk membawa nama baik universiti ini dengan penuh bermaruah. Anda merupakan wajah kepada falsafah universiti ini yang mendokong keunggulan akademik, etika kerja yang tinggi, serta sikap keterbukaan dan toleransi sesama kita.”

“Oleh itu, jadilah contoh teladan kepada masyarakat, pemimpin beretika, dan pemangkin kepada perubahan. Melangkahlah dengan keyakinan, dengan penuh keberanian, juga dengan kerendahan hati dan penuh kesyukuran.”

“Anda semua perlu menghargai pengorbanan dan kasih sayang yang diberikan oleh ibu bapa dan seluruh ahli keluarga anda selama ini,” pesannya sekali lagi kepada para graduan, sambil mengingatkan mereka akan bimbingan dan sokongan yang diberikan pengurusan tertinggi, para pensyarah dan kakitangan USM sepanjang pengajian mereka di menara ilmu ini.

468282047 1039805721519510 1629323425967004358 n

468101066 1039805638186185 4308639756538345879 n

Turut sama dalam Sidang Kesembilan ini adalah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; ahli Lembaga Gabenor USM; Timbalan-timbalan Naib Canselor; Pengarah Kampus USM; ahli-ahli Senat USM; serta pegawai-pegawai utama universiti.

Upacara Konvokesyen ke-62 USM kini sedang berlangsung di Kampus Induk USM bermula dari 19-26 November 2024.

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: MPRC USM 

  • Created on .
  • Hits: 254

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024