“JADILAH GRADUAN UNIVERSITI APEX YANG DIHORMATI DAN DISEGANI, YANG BERPEGANG PADA SEMANGAT J.I.T.U. SEBAGAI ASAS MENCAPAI KEJAYAAN,” PRO-CANSELOR INGATKAN PENERIMA IJAZAH DALAM SIDANG KELAPAN
USM PULAU PINANG, 23 November 2024 – Pagi ini, seramai 563 graduan terus diraikan dalam Sidang Kelapan, Konvokesyen ke-62 Universiti Sains Malaysia (USM).
Pengerusi Sidang pada pagi ini, Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, menyampaikan ijazah kepada kesemua graduan Sarjana Muda Pengurusan dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ).
Ahmad Tajuddin memulakan ucapannya dengan mengiktiraf pencapaian para graduan sebagai bukti kecemerlangan serta ketekunan yang luar biasa dalam mengharungi cabaran pembelajaran sepanjang hayat.
Katanya, keazaman tinggi, kesungguhan, dan ketekunan para graduan dalam menyeimbangkan komitmen kerja, keluarga serta tuntutan akademik ini sememangnya amat dikagumi.
Tambah beliau, “Kejayaan anda pada hari ini membuktikan bahawa pendidikan adalah satu usaha yang tidak mengenal batas masa dan tempat. Ijazah yang digenggam para graduan pada hari ini, yang dizahirkan melalui dedikasi, ketabahan, dan semangat juang yang tinggi dalam mengejar ilmu, pastinya menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat sekeliling.”
Beliau seterusnya berkata, “USM adalah institusi pelopor di negara ini dalam konteks Program Pendidikan Jarak Jauh atau Distance Education.”
USM berpegang teguh kepada prinsip ‘Education for All’ (Pendidikan Untuk Semua), yang percaya bahawa setiap insan berhak diberi peluang untuk melanjutkan pengajian dan meningkatkan ilmu serta kemahiran mereka. Ini adalah kerana pendidikan merupakan kunci perpaduan dan kemajuan negara.”
“Oleh itu, suka saya mengingatkan para graduan bahawa anda mempunyai tanggungjawab besar untuk membawa nama baik universiti ini dengan penuh bermaruah.
“USM telah mendidik serta memberi anda asas yang kukuh untuk mencapai kecemerlangan diri. Anda adalah duta kepada universiti bertuah ini. Justeru, peganglah amanah ini dengan penuh tanggungjawab,” tambahnya lagi.
Kata Ahmad Tajuddin lagi, “Dalam dunia yang dipenuhi keadaan yang ‘Volatile, Uncertain, Complex and Ambiguous’ atau VUCA, anda akan berhadapan dengan pelbagai dilema dan cabaran yang amat mendesak.
“Sebagai asas bagi mencapai kejayaan, jangan lupa untuk berpegang kepada semangat J.I.T.U. – Jujur, Ikhlas, Tekun, Usaha dalam melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab.”
“Walaupun dunia sering menawarkan jalan pintas atau cara yang mudah untuk mencapai apa jua matlamat anda, pilihlah untuk menjadi insan yang berpegang teguh kepada prinsip-prinsip etika, integriti, dan kejujuran dalam setiap aspek kehidupan.
“Inilah yang akan membezakan graduan universiti APEX, yang akan menjadikan anda insan yang dihormati dan disegani,” katanya lagi.
Seterusnya beliau berkata, “Ingin saya tekankan di sini bahawa, sebagai seorang graduan, anda bukan sahaja menyumbang melalui ilmu dan kemahiran; anda juga insan yang mencorak perubahan dengan berpaksikan nilai-nilai murni yang menjadi asas kepada keutuhan nusa dan bangsa.”
“Saya ingin mengingatkan semua graduan bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah tetapi ia datang kepada orang yang terus berusaha secara tekun dan tabah untuk melakukan sesuatu dengan lebih baik, dan tidak pernah menyerah kalah,” pesan Ahmad Tajuddin, yang memulakan tempoh lantikan sebagai Pro-Canselor USM pada September lalu.
Turut hadir pada Sidang Kelapan ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; ahli Lembaga Gabenor USM; Timbalan-timbalan Naib Canselor; Pengarah Kampus USM; ahli-ahli Senat USM; serta pegawai-pegawai utama universiti.
Upacara Konvokesyen ke-62 USM yang bermula dari 19-26 November 2024, kini sedang berlangsung di Kampus Induk USM.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: MPRC USM
- Created on .
- Hits: 200