GRADUAN PROGRAM PERUBATAN USM-KLE MERAIKAN KEJAYAAN DI UPACARA KONVOKESYEN KE-62 USM
USM PULAU PINANG, 21 November 2024 – Konvokesyen ke-62 Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini meraikan kejayaan lima graduan dari India, yang telah menamatkan pengajian mereka dalam Program Perubatan Antarabangsa (IMP) USM-KLE di kampus USM-KLE Belgaum, Karnataka, India.
Konvokesyen yang dilangsungkan di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) Kampus Induk USM melakar sejarah kepada kesemua graduan tersebut, kerana ini adalah pertama kali mereka datang ke Malaysia.
Sewaktu ditemuramah selepas berakhirnya Sidang Kelima pada petang tadi, para graduan tersebut berkongsi pengalaman mereka memilih USM sebagai tempat melanjutkan pengajian.
Vijayalakshmi Gulappa Hosamani, salah seorang graduan, memberi pandangan positif terhadap sistem pengajian yang dijalankan USM, yang dirasakan beliau mempunyai persekitaran selesa dan kondusif dalam melaksanakan pembelajaran. Beliau juga merancang untuk meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi di USM.
Sahana S. Keshetti, yang juga tertarik dengan program ijazah antarabangsa ini, mendaftar untuk mengikuti program USM-KLE tersebut kerana lokasinya yang berhampiran dengan tempat dia menetap.
Mengimbau kembali pengalamannya, beliau mengakui agak gementar pada awalnya, tetapi amat berpuas hati dengan kelancaran perjalanan program pengajiannya.
Daneshwari Hanji pula berkata bahawa upacara ini melebihi jangkaannya, di mana beliau juga memuji keselesaan susun atur tempat duduk dan panduan yang diberi yang amat membantu sewaktu berlangsungnya upacara tersebut.
Program USM-KLE IMP ini, yang ditubuhkan pada tahun 2010 antara USM dan Konsortium Pendidikan Karnataka-Lingayat di Belgaum, India, menyaksikan 55 orang graduan menamatkan pengajian tahun ini.
Upacara Konvokesyen ke-62 USM sedang berlangsung di Kampus Induk USM dari 19 hingga 26 November 2024.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: MPRC USM
- Created on .
- Hits: 196