CONVEX ’24 USM: BERMULA DARI KAMPUS KE KOMUNITI, KINI SEBAHAGIAN INISIATIF S4S
USM PULAU PINANG, 19 November 2024 – Seiring dengan Upacara Konvokesyen ke-62nya, Universiti Sains Malaysia (USM) telah melancarkan Ekspo Konvokesyen 2024 (ConvEx’24) dengan perasmiannya pada hari pertama Konvokesyen dijalankan.
Majlis Perasmian ConvEx’24 telah disempurnakan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan di Tapak ConvEx, Kampus Induk USM petang ini.
Zulkefli mengucapkan tahniah kepada ConvEx kerana telah diangkat dan disokong oleh pihak Universiti untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif Students for Society (S4S) dalam ucapan perasmian beliau.
“Saya melihat bahawa pengiktirafan ini wajar diberikan kepada meraka terutamanya penyelaras ConvEx kerana mereka sanggup mengorbankan masa, wang dan tenaga, malah tidak pulang ke rumah sepanjang cuti semester demi menjayakan Ekspo Konvokesyen ini,” ujarnya.
Beliau berharap agar program-program seperti ini dapat terus dijalankan setiap tahun dalam memastikan USM sentiasa melahirkan mahasiswa mahasiswi yang cergas dan proaktif di samping memenuhi moto USM “Kami Memimpin.”
Pada majlis yang sama, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed telah terdahulu mengumumkan bahawa ConvEx bakal diangkat menjadi sebahagian daripada inisiatif S4S yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Majlis Kesukarelawanan Universiti Malaysia (MASKUM).
Menghurai lanjut, beliau berkata, S4S merupakan satu program di bawah agenda pemerkasaan mahasiswa oleh KPT yang memfokuskan kepada pembangunan komuniti.
“Ia merupakan kaedah pembelajaran berasaskan perkhidmatan kepada komuniti bagi memberi pengalaman yang progresif berasaskan enam Teras Pembangunan Komuniti iaitu
1.) Khidmat sosial;
2.) Pengurusan kemanusiaan;
3.) Pendidikan berkualiti;
4.) Kesihatan dan kesejahteraan;
5.) Kelestarian alam sekitar; dan
6.) Advokasi dan kepimpinan.
“Setiap teras ini selaras dengan Sustainable Development Goals (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menggalakkan mahasiswa untuk menerapkan ilmu akademik mereka bagi menangani cabaran masyarakat serta menanam semangat keprihatinan sosial,” jelasnya lagi.
“Saya berharap agar kerjasama yang dijalin ini akan terus berkembang bagi menjadikan USM sebagai peneraju program komuniti yang menyeluruh dan menjadi contoh kepada universiti lain,” ujar Abdul Rahman dalam ucapannya.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM yang baharu dilantik bagi Sidang Akademik 2024/2025, Muhammad Arif Esa; Pengarah Projek ConvEx’24, Lim Xiao Qing; serta pegawai-pegawai utama Universiti.
Teks: Norliza Farhah Abdul Radzak/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 308