GRADUAN BERILMU, BERETIKA PERLU BERSEDIA LAKSANA INOVASI, TRANSFORMASI DI MASA HADAPAN – INTIPATI UCAPAN SIDANG KETUJUH, KONVOKESYEN KE-62 USM
USM PULAU PINANG, 22 November 2024 – Petang ini menyaksikan para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka menerima ijazah masing-masing dalam Sidang Ketujuh, Konvokesyen ke-62, Universiti Sains Malaysia (USM).
Sidang Ketujuh ini dipengerusikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, yang telah menyampaikan ijazah kepada kesemua 642 graduan pada petang ini.
Para penerima ijazah kali ini adalah dalam bidang Perubatan Molekul, Sains Kesihatan, Sains Pergigian dan Ilmu Kemanusiaan.
Selesai Pro-Canselor menyampaikan ijazah, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed meneruskan upacara dengan memberi ucapannya dalam Sidang Ketujuh ini.
Beliau berkata, hari ini menyaksikan pencapaian cemerlang kesemua graduan, hasil daripada perjalanan yang penuh cabaran, diperkukuh dengan sokongan keluarga, bimbingan pensyarah, dan semangat juang yang tidak pernah luntur.
Menurut beliau, “Setiap bidang pengajian yang dilalui mempunyai peranan besar dalam masyarakat. Sama ada anda graduan dari Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Pusat Pengajian Sains Pergigian atau Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, anda adalah pemikir, pemimpin, dan pelopor inovasi dalam memahami nilai manusia, amalan gaya hidup dan budaya.
“Bidang-bidang yang saudara-saudari ceburi ini adalah nadi kepada misi universiti untuk mengupayakan golongan terkebawah, demi mentransformasikan kesejahteraan sosioekonomi mereka.
“Anda semua adalah pemangkin perubahan, tidak kira melalui penyelidikan kesihatan, teknologi perubatan, mahupun transformasi sosial,” katanya.
Seterusnya, Abdul Rahman mengingatkan para graduan bahawa dalam mereka melaksanakan peranan mereka, perlu disedari bahawa dunia sentiasa melalui perubahan.
“Perubahan adalah satu kepastian, dan kejayaan bergantung kepada kemampuan graduan untuk mengadaptasi serta mencipta penyelesaian baharu yang berimpak tinggi.”
Abdul Rahman menyebut tentang kecerdasan buatan (AI) masa kini sebagai contoh, di mana ia sedang mengubah cara kita bekerja dan menjalani kehidupan seharian, baik dalam bidang kesihatan mahupun dalam ilmu kemanusiaan.
“Oleh itu, para graduan harus berani mencipta impak yang besar dengan menggabungkan kepakaran manusia bersama dengan kuasa teknologi,” ujarnya.
Beliau juga ingin mengingatkan para graduan tentang pengorbanan ibubapa dan ahli keluarga mereka yang menjadi tunjang kepada kejayaan mereka yang diraikan pada hari ini.
Selain itu, beliau juga berterima kasih kepada Jawatankuasa Kerja Upacara Konvokesyen Ke-62, yang dipengerusikan oleh Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff atas dedikasi dan komitmen cemerlang.
Abdul Rahman mengakhiri ucapannya dengan berkata, “Teruskan melangkah dengan penuh semangat, dedikasi, dan keberanian, untuk mencipta perubahan yang bermakna kepada dunia.”
Seterusnya, Ahmad Tajuddin memulakan ucapannya dengan menyentuh tentang situasi negara ini yang telah dilanda ancaman kesihatan COVID-19.
“Ini merupakan salah satu contoh keadaan masa hadapan yang penuh ketidaktentuan atau V.U.C.A. sebagai satu cabaran yang mendesak.
“Gunakan pengetahuan dalam bidang perubatan, kesihatan awam, dan kemanusiaan yang telah anda perolehi di universiti tercinta ini sebagai pemangkin untuk mempelopori perubahan serta mencipta impak positif,” katanya.
Tambahnya, para graduan juga bertanggungjawab untuk membawa nama baik universiti ini dengan penuh bermaruah.
Graduan semua diingatkan agar menjadi contoh teladan kepada masyarakat, menjadi pemimpin beretika, dan pemangkin kepada perubahan yang positif.
Katanya lagi, “Anda semua perlu ada sikap keterbukaan dan berani dalam mengharungi dunia yang penuh dengan ketidakpastian ini. Suka saya ingatkan bahawa untuk mencapai kejayaan, kita haruslah bersedia untuk menghadapi keadaan penuh ketidakselesaan. Ini adalah kerana asas kejayaan adalah ketabahan.”
“Teruskan juga legasi kecemerlangan dalam memimpin komuniti, dan menginspirasi negara. Melangkahlah dengan keyakinan, keberanian, kesungguhan juga dengan kerendahan hati dan penuh kesyukuran,” ujarnya.
Beliau juga mengingatkan para graduan agar bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah memberi sokongan dan dorongan sepanjang tempoh pengajian mereka di USM.
"Sokongan dari ibubapa, ahli keluarga, juga dari pengurusan tertinggi universiti, para pensyarah serta staf pentadbiran dan sokongan universiti adalah amat penting."
“Mereka bukan hanya telah menjadi pendidik, tetapi berperanan juga sebagai pembimbing, pendorong dan sumber inspirasi kepada para graduan.”
“Tahniah dan syabas kepada semua graduan,” beliau mengakhiri ucapannya.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: MPRC USM
- Created on .
- Hits: 263