“GRADUAN PERLU SAHUT CABARAN V.U.C.A. DENGAN JATI DIRI YANG KUKUH, PENUH INTEGRITI DAN BERETIKA,” UJAR PRO-CANSELOR
USM PULAU PINANG, 22 November 2024 – Para graduan Universiti Sains Malaysia (USM) pagi ini sekali lagi diberi penghargaan atas kejayaan mereka menamatkan pengajian, dalam Sidang Keenam, Konvokesyen ke-62.
Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, yang mempengerusikan Sidang ini, telah menyampaikan ijazah kepada kesemua 677 graduan pada pagi ini.
Mereka terdiri daripada graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan, Sarjana Muda Perakaunan, Sarjana Sains Fizik, Sarjana Muda Sains, dan Sarjana Muda Sains Gunaan.
Kata Ahmad Tajuddin dalam ucapannya, graduan perlu jadikan ilmu yang diperolehi di universiti ini sebagai perisai dan panduan untuk menghadapi segala cabaran.
“Setiap seorang graduan mempunyai bakat dan potensi yang unik dan tersendiri. Sebagai graduan yang berilmu, majulah ke hadapan dengan penuh keyakinan.”
Seterusnya beliau mengingatkan para graduan, “Kejarlah segala impian dalam kehidupan. Jangan mudah goyah atau merasa lelah dengan cabaran dan ujian dalam kehidupan. Tanpa cabaran, mana mungkin kedayatahanan serta jati diri dapat dibina.”
Kata beliau lagi, “Dalam dunia yang dipenuhi suasana Volatile, Uncertain, Complex and Ambiguous atau VUCA, anda akan berhadapan dengan pelbagai dilema dan cabaran yang amat mendesak.”
“Sebagai graduan bidang Pengurusan, Perakaunan, dan juga Sains Fizik, berpegang teguhlah kepada nilai integriti dan etika dalam apa jua tindakan dan keputusan yang bakal diambil.”
“Ingin saya tekankan di sini bahawa, sebagai seorang graduan, anda bukan sahaja menyumbang melalui ilmu dan kemahiran; jadilah insan yang mencorak perubahan dengan berpaksikan nilai-nilai murni yang menjadi asas kepada keutuhan nusa dan bangsa,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, “Suka saya ingatkan para graduan sekalian bahawa anda mempunyai tanggungjawab besar untuk membawa nama baik universiti ini dengan penuh bermaruah.”
“USM telah mendidik serta memberi anda asas yang kukuh untuk mencapai kecemerlangan diri. Kini tiba masanya untuk anda menjadi insan yang mampu memberi inspirasi kepada generasi akan datang. Justeru itu, peganglah amanah ini dengan penuh tanggungjawab. Anda adalah duta universiti bertuah ini. Anda adalah USM dan USM adalah anda,” katanya.
Beliau juga menyeru para graduan untuk meneruskan sikap keterbukaan dan berani dalam mengharungi dunia yang penuh dengan ketidakpastian ini.
Menurutnya, untuk mencapai kejayaan, graduan haruslah bersedia untuk menghadapi ketidakselesaan. Ini adalah kerana asas kejayaan adalah ketabahan.
“Saya ingin mengingatkan semua graduan bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah tetapi ia datang kepada orang yang terus berusaha secara tekun dan tabah untuk melakukan sesuatu dengan lebih baik, dan tidak pernah menyerah kalah,” pesan Ahmad Tajuddin yang baharu dilantik sebagai Pro-Canselor USM pada bulan September yang lalu.
Turut hadir dalam Sidang Keenam ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; ahli Lembaga Gabenor USM; Timbalan-timbalan Naib Canselor; Pengarah Kampus USM; ahli-ahli Senat USM; serta pegawai-pegawai utama universiti.
Upacara Konvokesyen ke-62 USM kini sedang berlangsung di Kampus Induk, bermula 19-26 November 2024.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin & Tan Ewe Hoe/Foto: MPRC USM
- Created on .
- Hits: 230