BANTULAH MASYARAKAT DENGAN USAHA MURNI DAN PENUH IHSAN SERTA TERUSKAN CAPAI KECEMERLANGAN, PESAN PRO-CANSELOR
USM PULAU PINANG, 21 November 2024 – Petang ini menyaksikan para graduan Universiti Sains Malaysia (USM) diberi penghargaan atas kejayaan mereka menamatkan pengajian dalam Sidang Kelima, Konvokesyen ke-62.
Pro-Canselor USM, Tan Sri Dato’ Dr. Jegathesan Manikavasagam selaku Pengerusi Sidang ini, telah memberikan ijazah kepada kesemua graduan pada petang ini.
Seterusnya dalam ucapannya, beliau mengucapkan syabas kepada setiap 625 graduan Ijazah Sarjana, Sarjana Muda dan Doktor Perubatan dari dua buah Pusat Pengajian, iaitu Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, dan Pusat Pengajian Sains Perubatan, yang telah menerima ijazah masing-masing.
Jegathesan kemudiannya memberi peringatan berkaitan adanya aspek saling kebergantungan antara bidang sains dan sastera.
“Sebarang penemuan sains yang hebat tidak akan membawa manfaat sekiranya tidak dapat diterjemahkan ke dalam bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat.
“Dalam konteks ini, USM komited merapatkan jurang antara sains dan sastera, melalui kaedah pengajaran dan penyelidikan transdisiplinari, sejajar dengan peranannya sebagai universiti perintis, intensif penyelidikan dan rentas bidang,” jelas beliau.
Tambah beliau lagi, USM juga amat berbangga kerana dapat menyumbang ke arah memajukan peranan pakar perubatan, tidak hanya di dalam negara, tetapi juga di beberapa negara di peringkat antarabangsa.
Antaranya adalah kehadiran lima warganegara India yang telah menamatkan pengajian perubatan mereka di kampus USM-KLE in Belgaum, Karnataka, India, untuk menerima skrol mereka masing-masing di Sidang Kelima ini.
“Sama ada anda semua berkhidmat sebagai pakar perubatan, pakar bahasa, mahupun sebagai seorang profesional dalam apa jua bidang, seharusnya matlamat anda adalah sama, iaitu untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan penuh ihsan.
“Gunakanlah ilmu dan kemahiran, disertai dengan komitmen dan nilai-nilai positif yang telah diterima di USM untuk menghasilkan sesuatu yang penuh impak dalam komuniti masing-masing,” katanya.
Menurut beliau lagi, “Menjadi cemerlang dalam bidang tertentu tidak bermakna kita tidak boleh capai tahap yang sama dalam bidang yang berbeza. Selama saya menjadi seorang petugas perubatan, penyelidik perubatan, pemikir polisi dan atlet, saya telah mempelajari bahawa tiada yang mustahil sekiranya anda mahu mencuba dan melakukan yang terbaik. Teruskan usaha untuk pergi lebih jauh and sentiasa pertingkatkan pencapaian diri sendiri.”
Di akhir ucapannya, beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada semua graduan.
“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk anda terus berusaha mencapai impian dan cita-cita.
“Jangan dilupa ‘alma mater’ anda semua iaitu Universiti Sains Malaysia, dan sentiasalah kembali untuk berkongsi pengalaman dan ilmu dengan generasi seterusnya,” Jegathesan turut peringatkan graduan.
Bersama di dalam upacara tersebut ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; ahli Lembaga Gabenor USM; Timbalan-timbalan Naib Canselor, Pengarah Kampus Kesihatan dan Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, ahli-ahli Senat USM, serta pegawai-pegawai utama universiti.
Upacara Konvokesyen ke-62 USM kini sedang berlangsung di Kampus Induk, bermula 19-26 November 2024.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: Jurufoto MPRC
- Created on .
- Hits: 85