KONVOKESYEN KE-62 USM, SIDANG KEEMPAT: “MENGURUSKAN SUMBER DAN MEMIMPIN MASYARAKAT DENGAN CEKAP ADALAH KEMAHIRAN PENTING,” PESAN PRO-CANSELOR
USM PULAU PINANG, 21 November 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan tradisi meraikan kecemerlangan pencapaian para graduannya dalam Sidang Keempat, Konvokesyen ke-62 pada pagi ini.
Pro-Canselor USM, Tan Sri Dato’ Dr. Jegathesan Manikavasagam selaku Pengerusi Sidang, memulakan Sidang dengan menyampaikan ijazah kepada 644 graduan ijazah Sarjana (Analitik Perniagaan, Kewangan Islam Global, Pengurusan Kewangan Islam Global dan Pengurusan Profesional) dari Pusat Pengajian Pengurusan.
Beliau seterusnya mengucapkan syabas dan tahniah kepada para graduan di atas kejayaan mereka dalam Sidang ini.
Pesan beliau, graduan pengurusan di masa hadapan perlu memainkan peranan penting untuk memastikan organisasi kekal relevan, berdaya saing, dan lestari.
Ujarnya, keupayaan untuk merancang, menyusun, memimpin, dan mengawal sumber dengan berkesan adalah kunci kepada kestabilan dan kelestarian sesebuah organisasi.
“Sebaliknya, kegagalan dalam pengurusan boleh memberi kesan kepada pencapaian hala tuju, pembaziran sumber, kehilangan kepercayaan pelanggan, dan akhirnya, kegagalan organisasi itu sendiri.”
Tambahnya, para graduan bukan sahaja telah memperoleh ilmu pengetahuan sewaktu tempoh pengajian, tetapi juga nilai-nilai murni dan kemahiran yang akan membentuk diri mereka sebagai pemimpin di masa depan.
“Para graduan juga perlu ingat bahawa, ilmu yang dimiliki adalah amanah yang perlu digunakan untuk kebaikan masyarakat dan negara,” katanya lagi.
Jegathesan seterusnya menyeru para graduan untuk terus berusaha dan jangan cepat berputus asa.
Pesannya lagi, “Hadapilah dunia luar yang dipenuhi cabaran dengan ilmu dan kemahiran yang telah diperolehi. Saya yakin anda mampu menghadapi segala rintangan. Jadilah agen perubahan yang positif dan terus memberi sumbangan kepada pembangunan masyarakat.”
“Satu perkara lagi yang saya rasa sangat penting ialah, agar dapat mewujudkan ‘data-driven culture’, untuk membentuk kecemerlangan institusi di mana sahaja anda bekerja nanti.
“Begitu juga dengan kepentingan pengurusan berlandaskan etika dan integriti, selain kepentingan untuk berkolaboratif dalam mencipta nilai baharu yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” kata beliau.
Tambahnya lagi, “Sepanjang pengalaman saya terlibat dengan pelbagai organisasi dan institusi, saya dapat merasakan betapa perlunya ada kemampuan menyesuaikan diri/beradaptasi dan juga kemampuan melaksanakan pendekatan baharu dalam pelbagai keadaan.”
“Menguruskan sumber dan memimpin organisasi atau masyarakat dengan cekap dan berkesan adalah kemahiran penting yang dapat menentukan kejayaan sesebuah organisasi atau kumpulan masyarakat,” jelas Jegathesan, yang telah menjadi Pro-Canselor USM sejak Mac 2011.
Di akhir ucapannya, Jegathesan mengingatkan para graduan agar dapat meneruskan amalan berpegang teguh kepada prinsip kelestarian yang telah dibentuk oleh USM, sebagai sebuah institusi yang menerajui kelestarian (sustainability-led university).
Turut hadir dalam Sidang Keempat adalah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; ahli Lembaga Gabenor USM, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Pengarah Kampus Kesihatan dan Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, ahli-ahli Senat USM, serta pegawai-pegawai utama Universiti.
Upacara Konvokesyen ke-62 USM sedang berlangsung di Kampus Induk USM bermula 19-26 November 2024.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: Jurufoto MPRC
- Created on .
- Hits: 129