USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

“ILMU TIADA MAKNA JIKA TIDAK BERI MANFAAT KEPADA MASYARAKAT” - TITAH TUANKU CANSELOR SEMPENA UPACARA KONVOKESYEN KE-62 USM

USM PULAU PINANG, 19 November 2024 - Sidang Pertama Upacara Konvokesyen ke-62 Universiti Sains Malaysia (USM) yang berprestij telah berlangsung dengan penuh meriah di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) pada pagi ini, dengan keberangkatan Raja Perlis merangkap Canselor USM, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

467749526 1037429268423822 6224162565694672532 n

Dalam titah Diraja, baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, selaku penerima Ijazah Kehormat Doktor Perhubungan Antarabangsa. 

Baginda turut menyifatkan anugerah ini sebagai pengiktirafan atas jasa besar dan sumbangan beliau terhadap negara dalam bidang diplomasi dan kepimpinan antarabangsa.

467906130 1037429761757106 6797095421947448619 n

467877643 1037429645090451 5679241337231044911 n

“Saya percaya anugerah ini tepat sekali dengan segala jasanya yang telah dicurahkan kepada negara. Semoga ia menjadi inspirasi buat semua,” titah baginda.

Baginda juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua graduan, termasuk seorang tokoh korporat yang juga menerima Ijazah Kehormat serta dua orang ahli akademik yang menerima gelaran Profesor Emeritus, atas pencapaian cemerlang mereka masing-masing.

467771509 1037429821757100 283654396621732686 n

Dalam titahnya, Tuanku Canselor juga mengingatkan graduan tentang tanggungjawab besar yang dipikul untuk memanfaatkan ilmu yang diperoleh demi membawa manfaat kepada masyarakat, negara, dan dunia.

Baginda menyatakan, cabaran semasa seperti ketidaktentuan ekonomi memerlukan warga berilmu dan proaktif untuk terus memainkan peranan dalam membantu masyarakat.

“Ilmu yang ada, tiada gunanya jika tidak memberi makna kepada masyarakat. Pepatah Melayu menyebut: ‘condong ditumpil, lemah dianduh,” tegas baginda, dengan menggesa graduan untuk terus menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.

467840857 1037429618423787 2640791302770272839 n

Baginda turut menyeru agar kemajuan teknologi digunakan dengan sebaiknya untuk merapatkan jurang dalam masyarakat tanpa mengorbankan nilai-nilai kekeluargaan dan adab ketimuran.

“Dalam kita mengejar kemodenan, jangan diperjudikan institusi kemasyarakatan, khususnya ikatan kekeluargaan. Gunakan teknologi untuk menyatukan, bukan memisahkan,” titah baginda lagi.

Tuanku Canselor turut memberi pujian terhadap USM atas kecemerlangannya, yang bukan sahaja mencerminkan pencapaian akademik, tetapi juga pembentukan sahsiah graduan yang tinggi berteraskan nilai-nilai murni.

467783249 1037429635090452 5283067567090686815 n

Baginda menyeru agar nilai-nilai ini terus menjadi penanda ukur mercu kejayaan sejati.

“Saya menyeru semua yang berada di dewan ini untuk sama-sama menyemarakkan budaya ilmu dan memartabatkan institusi pendidikan negara. Semoga saudara-saudari semua terus berjaya dan memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara,” titah baginda sebelum mengakhiri ucapan.

467847215 1037429491757133 4965670898882760465 n

Upacara Konvokesyen ke-62 USM yang diadakan di Kampus Induk universiti, akan berlangsung dari 19-26 November, 2024.

Teks: Shafinaz Md Ismail/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: Jurufoto MPRC

  • Created on .
  • Hits: 277

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024