MAJLIS SANGGAR SANJUNG USM: TITAH TUANKU CANSELOR SEMARAKKAN ASPIRASI GLOBAL
BAYAN BARU, PULAU PINANG, 20 November 2024 – DYMM Raja Perlis selaku Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, menyeru warga USM untuk terus menterjemahkan peranan dan sumbangan mereka dalam memperkukuh kecemerlangan universiti di peringkat global.
Titah tersebut dizahirkan semasa Baginda berkenan menyempurnakan Majlis Anugerah Sanggar Sanjung USM 2023 di Setia SPICE Convention Centre baru-baru ini.
Dalam titahnya, Baginda menekankan kepentingan penyelidikan, pengajaran, penerbitan dan pembangunan ilmu yang memenuhi keperluan semasa dunia, sambil memupuk kelestarian dalam pelbagai bidang.
Baginda turut menegaskan nilai teras USM – “accessibility”, “affordability”, dan “appropriateness” – sebagai panduan bagi memastikan khazanah ilmu dapat dimanfaatkan oleh masyarakat secara menyeluruh.
“Warga USM bukan sahaja perlu bijak mengkritik, tetapi juga menyediakan solusi yang realistik dan relevan dalam menangani isu-isu semasa,” titah Baginda, sambil menambah bahawa integriti, keperibadian tinggi, dan tata kelola cemerlang perlu menjadi asas setiap tindakan.
Majlis Anugerah Sanggar Sanjung USM 2023, yang bertemakan “USM Memacu dan Memimpin Transformasi Kelestarian ke arah Masa Depan yang Mampan,” bertujuan mengiktiraf kejayaan para pensyarah dan pentadbir yang telah mengharumkan nama universiti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Antara anugerah yang disampaikan ialah Anugerah Pendidik Sanjungan, Anugerah Kualiti, Anugerah Kepimpinan Masyarakat, dan Anugerah Sanggar Sanjung (Kebangsaan dan Antarabangsa).
Selain itu, Tuanku turut berkenan melancarkan buku ‘Developments of the Malaysian Capital Market 2022-2024 Collection of Selected Speeches’, satu pencapaian penting yang mencerminkan komitmen USM terhadap pembangunan intelektual.
Majlis ini menjadi simbol kesungguhan dan dedikasi USM dalam memastikan kecemerlangan akademik terus menempa nama di pentas dunia, sesuai dengan aspirasi universiti untuk menjadi peneraju transformasi kelestarian global.
Turut hadir menyemarakkan majlis ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Teks: Shafinaz Md Ismail
- Created on .
- Hits: 32