USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INSPIRASI, PENGIKTIRAFAN DAN KEJAYAAN CEMERLANG KONVOKESYEN KE-62 USM

USM PULAU PINANG, 19 November 2024 - Universiti Sains Malaysia (USM) bersedia meraikan kejayaan 8,971 graduan menerusi Upacara Konvokesyen ke-62, bermula dari 19 hingga 26 November 2024 di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), Kampus Induk USM.

Sidang media khas diadakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, bagi memperincikan acara berprestij ini, yang turut menampilkan penganugerahan Ijazah Kehormat, gelaran Profesor Emeritus, serta kisah inspirasi daripada graduan cemerlang.

WhatsApp Image 2024 11 18 at 13.10.33

Raja Perlis merangkap Canselor USM, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, merasmikan Sidang Pertama pada 19 November 2024.

Pada sidang yang sama, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak, menerima Ijazah Kehormat Doktor Perhubungan Antarabangsa atas sumbangan besarnya dalam bidsng diplomasi dan pentadbiran negara.

Turut menerima Ijazah Kehormat ialah Tan Sri Dato’ Sri Jamaludin Ibrahim, tokoh korporat yang terkenal dengan peranannya dalam transformasi digital dan telekomunikasi global.

Dua tokoh akademik USM, Dato’ Dr. Chan Ngai Weng dan Dr. Abu Hassan Ahmad, pula dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus atas sumbangan besar mereka dalam bidang pengurusan sumber air dan penyelidikan kawalan vektor penyakit.

Graduan cemerlang turut menjadi tumpuan dalam sidang media ini. Nurul Asyiqin Shafie, penerima Pingat Emas USM, mengharungi cabaran besar selepas menjadi pelajar kelainan upaya (PKU) akibat kemalangan semasa menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Pendidikan TESOL serta menjadi simbol keberanian serta ketabahan.

WhatsApp Image 2024 11 18 at 13.10.39 3

Anugerah Pingat Emas Canselor dianugerahkan kepada Afirul Idris Ayub Khan, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Pendidikan yang disampaikan oleh Tuanku Canselor sendiri pada Sidang 1.

WhatsApp Image 2024 11 18 at 13.10.34 2

Selain itu, Syed Muhammad Zakwan Syed Zaman, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, menerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor, diiktiraf atas tokoh kepimpinannya yang cemerlang.

WhatsApp Image 2024 11 18 at 13.10.34

Anugerah Pelajaran Diraja oleh Majlis Raja-Raja Malaysia dianugerahkan kepada Aqil Irifan Mirza pelajar Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial (pelajar terbaik kategori Bumiputera) dan Wong Yong Jie, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik (pelajar terbaik kategori bukan Bumiputera).

WhatsApp Image 2024 11 18 at 13.10.35 1

Menurut Wong, ini membuktikan bahawa kata-kata negatif bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan, apabila beliau kini melanjutkan pengajian kedoktoran melalui program ‘fast track’.

“Saya pernah diejek dan dihina secara langsung oleh rakan sekelas dek kerana kehilangan sosok nakhoda utama keluarga iaitu mendiang ayah saya, dan kata-kata yang dilontarkan benar-benar telah menikam hati saya,” kata Wong.

WhatsApp Image 2024 11 18 at 13.10.39 1

“Detik itu menjadi titik perubahan dalam hidup dan saya berjanji pada diri sendiri untuk bekerja keras demi masa depan yang lebih baik buat kami sekeluarga,” ujarnya lagi.

Upacara Konvokesyen ini akan berlangsung dalam 15 sidang, dengan Pro-Canselor USM, Tan Sri Dato’ Dr. M. Jegathesan, mempengerusikan Sidang 2 – 5.

Acara ini juga akan diteruskan oleh tokoh akademik yang baru dilantik sebagai Pro-Canselor, Tan Sri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali (Sidang 6 – 9), dan Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan (Sidang 10 – 15).

Daripada jumlah keseluruhan graduan, 3,396 adalah penerima Ijazah Tinggi (Kedoktoran dan Sarjana), 5,508 adalah graduan Ijazah Sarjana Muda, dan 56 adalah graduan Diploma Kejururawatan.

WhatsApp Image 2024 11 18 at 13.10.36

WhatsApp Image 2024 11 18 at 13.10.40

Sidang media khas ini menyerlahkan komitmen USM dalam mendukung kecemerlangan akademik dan membentuk generasi pemimpin yang berdedikasi.

Dengan gabungan penghormatan kepada tokoh ternama dan kisah kejayaan graduan, USM menonjolkan peranannya sebagai institusi yang bukan sahaja mendidik, tetapi juga memberi inspirasi kepada masyarakat.

WhatsApp Image 2024 11 18 at 13.10.44

Upacara Konvokesyen ke-62 pastinya akan menjadi acara yang penuh makna, melakar sejarah dan memartabatkan pendidikan sebagai tunjang pembangunan negara.

Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 58

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024