TIGA PROGRAM BERIMPAK TINGGI RAIH GERAN RUTRANS: LANGKAH PROGRESIF USM DALAM SDG DAN STIE
USM PULAU PINANG, 14 November 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pejabat Pengurusan & Kreativiti Penyelidikan (RCMO) telah menganjurkan majlis penganugerahan untuk meraikan penerima Skim Geran Universiti Penyelidikan Transdisiplinari (RUTrans) bagi tahun 2024.
Majlis ini dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Habibah A. Wahab yang menyaksikan pemilihan tiga program utama yang melibatkan 10 subprojek dari keseluruhan 12 program dan 43 subprojek.
“Dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.19 juta, usaha penyelidikan yang berteraskan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) akan diperkasakan dan menyumbang kepada inovasi dalam bidang sains, teknologi, inovasi, dan ekonomi (STIE), serta memastikan visi USM dalam meningkatkan kualiti penyelidikan dan penyelesaian masalah global dapat dicapai,” ujar Habibah.
Program yang terpilih menumpukan kepada impak langsung terhadap komuniti melalui inovasi, pengurangan kos, dan peningkatan kualiti hidup.
Senarai penerima Skim Geran RUTrans 2024 adalah seperti berikut:
1. "Beyond Enhancing Targeted Breast Cancer Radiotherapy Using CMOS-TOF Imaging Guidance: AI-Driven Treatment Plan to Minimise Radiation Side Effects and Adjuvant Immune Response to Boost Treatment"
Ketua Program: Profesor Madya Dr. Mohd Hafiz Mohd Zin (Institut Perubatan dan Pergigian Termaju)
Jumlah Geran: RM354,200.00
2. "Harnessing Advanced Technologies to Combat Microplastics Pollution Associated with the Non-Communicable Diseases in the Muda River Basin"
Ketua Program: Dr. Mohd Saiful Samsudin (Pusat Pengajian Teknologi Industri)
Jumlah Geran: RM479,450.00
3. "Integrating Energy Conservation, Efficiency, Renewable Energy / Monitoring, ESG Digital Reporting, and Carbon Predicting Approach for Local SME Sustainability"
Ketua Program: Profesor Madya Dr. Ng Theam Foo (Pusat Kajian Global)
Jumlah Geran: RM360,000.00
Majlis ini turut menyaksikan pelancaran R&I Net Platform, sebuah platform digital yang dihasilkan dengan kerjasama RCMO dan Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT).
Platform ini bertindak sebagai pusat kolaborasi maya bagi penyelidik di USM, membolehkan perkongsian data penyelidikan dan kerjasama transdisiplinari.
Inisiatif ini selaras dengan Pelan Strategik USM 2025, serta aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperkukuh ekosistem penyelidikan negara.
Majlis penghargaan turut diberikan kepada semua panel pakar dalam kalangan Profesor dan Profesor Madya yang telah memberikan bimbingan dan komitmen tinggi sepanjang pelaksanaan Program RUTrans 2024.
Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: Shamil Shazwan Abu Bakar
- Created on .
- Hits: 107