HAWANA 2024: USM & BERNAMA MANTAPKAN KEMAHIRAN MAHASISWA DALAM KEWARTAWANAN DIGITAL
USM PULAU PINANG, 14 November – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Komunikasi, telah dilantik sebagai rakan strategik dan penyelaras bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dalam menganjurkan Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 Bersama Siswa bagi Zon Utara, pagi ini di Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA).
Program ini dianjurkan khas untuk memperkukuhkan pengetahuan dan mendedahkan mahasiswa mengenai kemahiran kritikal dalam kewartawanan digital dan literasi media hari ini.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menekankan peranan penting wartawan sebagai pendidik masyarakat dan pengawal kebenaran dalam era digital yang mencabar.
Menurut Abdul Rahman, “Selain melaporkan fakta, mereka juga menganalisis dan memberi konteks yang mendalam kepada isu-isu semasa agar masyarakat dapat membuat keputusan termaklum serta mendorong dialog umum yang konstruktif.”
“Melalui penawaran program seperti Kewartawanan Media Baru dan Penceritaan Data yang ditawarkan di Pusat Pengajian Komunikasi, USM, ia berperanan penting dalam mencorakkan masa depan industri kewartawanan melalui pendidikan dan latihan yang berkualiti serta memastikan pelajar mampu menyesuaikan diri dengan perubahan dalam dunia media,” tambah beliau lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nur-ul Afida Kamaludin, turut menyampaikan sumbangan berupa satu set komputer berkeupayaan tinggi dan sebuah televisyen pintar kepada tiga buah Universiti Awam (UA) di zon utara termasuk USM.
Program ini merekodkan kehadiran lebih 500 pelajar dari USM, UUM, UNIMAP, para pensyarah, dan rakan-rakan media yang turut hadir memeriahkan majlis ini.
Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 66