DEWAN BUDAYA USM TERIMA GERAN ARTSFAS RM180,000
USM PULAU PINANG, 2 November 2024 – Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia (USM) yang berjaya menerima geran Award of Arts for All Seasons (ArtsFAS) baru-baru ini untuk projek "Semarak Bangsawan - Bangsawan Raden Mas" pada tahun 2024.
Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran menyifatkan kejayaan tersebut sebagai suatu pencapaian yang besar dan membanggakan.
“Ia menunjukkan pengiktirafan terhadap komitmen USM dalam memelihara dan mempopularkan seni tradisional bangsawan dalam kalangan generasi muda, yang sejajar dengan prinsip kelestarian dan pemeliharaan warisan budaya negara.
“Saya yakin geran bernilai RM180,000 ini membolehkan projek tersebut dilaksanakan secara lebih mampan dan berdikari tanpa sepenuhnya bergantung kepada dana universiti,” kata Azlan.
Menurut Pengarah Dewan Budaya USM, Ramnah Ramli, dengan moto “We Lead”, Dewan Budaya USM bersyukur dapat bersama-sama Unit Peneraju Inovasi Sosial, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM, meraih dana luar yang membantu dalam pelaksanaan program bangsawan secara mandiri.
“Langkah ini bukan sahaja mengukuhkan rangkaian antara institusi, pembiaya, dan masyarakat, tetapi juga memperkukuh kedudukan USM sebagai peneraju dalam seni budaya yang progresif serta lestari,” tambahnya.
Pada 4-5 Oktober 2024, Penang Bay Art Society (BayArts) bersama Dewan Budaya USM, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Pulau Pinang dan Persatuan Seni Kreatif Budaya Warisan Estetik Pulau Pinang (SEKENET) telah mementaskan Bangsawan Raden Mas di Auditorium Dewan Budaya USM sempena program Manifestasi Bangsawan Wilayah Utara 2024: Semarak Karya Agung.
Teks: Tan Ewe Hoe/Poster infografik: BJIM USM
- Created on .
- Hits: 60