PENUTUPAN USM STEM WEEK 2024: GENGGAM ASPIRASI NEGARA
USM PULAU PINANG, 10 November 2024 – Majlis Penutupan Program USM STEM Week 2024 anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) telah dilaksanakan dengan jayanya.
Program tersebut menampilkan pelbagai aktiviti yang mengukuhkan pembudayaan sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) dalam kalangan pelajar, yang dilangsungkan di Dewan Utama Pelajar (DUP) hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. Beliau menekankan pentingnya pendidikan STEM sebagai tunjang pembangunan negara.
Menurut Fadhlina, “Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited dalam memperkasakan pendidikan STEM di semua peringkat, seiring aspirasi negara untuk memenuhi keperluan bakat mahir dalam sektor berteknologi tinggi, serta memperluaskan jaringan sinergi dengan lebih banyak program interaktif antara sekolah dan institusi pendidikan tinggi, seperti program saintis di 100 sekolah seluruh negara.”
Fadhlina menyatakan bahawa ibu bapa dan kaunselor kerjaya berperanan penting dalam membimbing anak-anak untuk memilih pengkhususan dalam bidang STEM.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed pula menegaskan bahawa USM komited dalam menyediakan platform pembelajaran interaktif untuk pelajar meneroka kemahiran inovasi melalui aktiviti praktikal.
“Inisiatif ini mengukuhkan kolaborasi antara USM, industri, dan komuniti, serta menyokong objektif USM sebagai universiti penyelidikan bertaraf APEX yang berperanan dalam memartabatkan pendidikan STEM di Malaysia,” ujar Abdul Rahman.
Program ini melibatkan penyertaan 350 pensyarah dan pelajar dari 15 pusat pengajian di USM, dengan sasaran seramai 300 pelajar dari negeri-negeri wilayah utara seperti Pulau Pinang, Perak, dan Kedah.
Majlis ini turut menyaksikan penyerahan pelantikan kepada USM sebagai rakan pelaksana strategik bagi Program Anak Kita, dengan mandat untuk meningkatkan literasi dan numerasi dalam kalangan 5,420 pelajar dari 140 sekolah rendah di Kelantan, serta meningkatkan kadar kelulusan SPM bagi tahun 2024 dan 2025 di lapan negeri dengan peruntukan sebanyak RM21.6 juta.
KPM dan USM berhasrat menjadikan pembudayaan STEM sebagai satu agenda utama dengan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyelaraskan usaha di peringkat kebangsaan, sekali gus memastikan lebih ramai pelajar cenderung dalam bidang STEM.
Yang turut hadir adalah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Haji Wan Sajiri Wan Hassan; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dr. Azlan Amran; Ketua Pengarah Unit Pantau MADANI, Kementerian Kewangan, Encik Mohd Khalid Mohd Latiff; Ketua Pegawai Pendidikan, Yayasan Hasanah, Dr. Nur Anuar Abdul Muthalib; Pengarah CEDEC merangkap Ketua Projek STEM Week 2024, Profesor Madya Dr. Asrulnizam Abd Manaf; pegawai-pegawai utama USM dan KPM, serta rakan-rakan strategik industri.
Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 280