INSPIRASI APEX: SESI BERSAMA NAIB CANSELOR MOTIVASI PELAJAR PRA-U KOLEJ MARA KULIM
KULIM, KEDAH, 5 Oktober 2024 – Sebanyak 137 pelajar Pra-U Universiti Sains Malaysia (USM) yang menjalani pengajian di Kolej MARA Kulim menyertai majlis penuh inspirasi bersama Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang berlangsung di dewan utama kolej tersebut dan menandakan pertemuan penting bagi sesi akademik 2024/2025.
Dalam ucapannya, Abdul Rahman menekankan kejayaan USM sebagai Universiti APEX pertama di Malaysia, yang telah menjadi penanda aras kecemerlangan pendidikan tinggi negara.
"Pemilihan anda di sini menunjukkan kemampuan untuk menembusi persaingan yang sangat kompetitif, memberikan anda peluang yang lebih tinggi berbanding saluran kemasukan lain," ujarnya.
Beliau menambah, "Bagi pelajar yang datang dari latar belakang B40, inilah masanya untuk mengubah masa depan anda." Abdul Rahman menegaskan bahawa salah satu matlamat utama penubuhan MARA adalah untuk memberi peluang kepada golongan Bumiputera keluar daripada kitaran kemiskinan melalui pendidikan yang lebih baik.
Naib Canselor juga turut menyeru agar pelajar menggandakan usaha mereka, kerana kejayaan memerlukan ketabahan dan dedikasi.
“Tiada kejayaan tanpa usaha. Setiap perjalanan pasti ada cabaran, dan pelajar harus bersedia secara mental dan fizikal untuk menghadapinya,” katanya yang menggesa pelajar untuk berdaya saing di peringkat global dalam dunia tanpa sempadan.
Sesi tersebut diteruskan dengan ucapan oleh Timbalan Pengarah Hal Ehwal Akademik Kolej MARA Kulim, Encik Mohamad Azaki Mohamad, yang berkata, “Kedatangan Dato’ Seri pada hari ini dapat meningkatkan lagi motivasi kepada para pelajar, dan semoga majlis bersama Naib Canselor ini akan menjadi platform terbaik untuk memaksimakan kesejajaran halatuju Kolej MARA Kulim, MARA, dan USM.”
Beliau turut mengucapkan penghargaan atas sokongan dan kerjasama USM dalam melancarkan program Pra-U ini, dengan harapan agar majlis seperti ini menjadi agenda kerjasama unggul untuk memperkukuh hubungan antara Kolej MARA Kulim dan USM.
Sesi ini diakhiri dengan sesi soal jawab yang hangat antara pelajar dan Naib Canselor, di mana pelbagai soalan mengenai peluang kemasukan dan penawaran kursus di USM dikemukakan oleh para pelajar.
Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat; Penyelaras Program Pra-U USM; Profesor Madya Dr. Mohd Rizal Razali, para pensyarah, serta pegawai-pegawai utama USM dan Kolej MARA Kulim.
Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 114