USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HARI BERSAMA PELANGGAN PHS 2024: PERPUSTAKAAN PENGHUBUNG ILMU DAN MASYARAKAT

USM PULAU PINANG, 4 November 2024 – ‘Connecting Wisdom’ atau ‘Menghubung/Menyambung Kebijaksanaan’ telah diangkat menjadi tema Program Hari Bersama Pelanggan Perpustakaan Hamzah Sendut (PHS) Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun ini.

Program tersebut yang bermula hari ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan antara perpustakaan dan para pelanggannya, iaitu pelajar, pensyarah, penyelidik dan seluruh komuniti universiti.

PHOTO 2024 11 05 00 12 59

Majlis perasmian program tersebut telah berlangsung di Ruang Pameran, PHS 1 dan telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab.

PHOTO 2024 11 05 00 12 54

Dalam ucapan perasmian beliau, Habibah menekankan kepentingan perpustakaan sebagai sebuah pusat dinamik yang menghubungkan ilmu, penyelidikan, inovasi dan masyarakat secara keseluruhan.

“Saya yakin program Hari Bersama Pelanggan ini dapat memperkasa usaha perpustakaan untuk terus mendekatkan diri dengan pengguna, memahami keperluan mereka, serta memperbaiki kualiti perkhidmatan yang diberikan,” ujarnya.

PHOTO 2024 11 05 00 12 56

Beliau turut menyeru kepada pengguna perpustakaan untuk terus memanfaatkan sepenuhnya kemudahan dan peluang yang disediakan seperti bengkel literasi maklumat, panduan penggunaan pangkalan data digital, promosi bahan-bahan ilmiah, dan sebagainya.

Ketua Pustakawan USM, Arinawati Ayob menyuarakan komitmen Perpustakaan USM dalam menyediakan perkhidmatan dan kemudahan terbaik dalam bidang akademik, pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan.

PHOTO 2024 11 05 00 12 53

Menurut beliau, “Program Hari Bersama Pelanggan Perpustakaan USM: MyPHS 2024 ini juga dirangka untuk menggalakkan interaksi langsung antara pelanggan dan pihak Perpustakaan.”

“Pelanggan dapat lebih mengenali perkhidmatan, sumber rujukan dan kemudahan yang disediakan serta memberi maklum balas terus untuk penambahbaikan perkhidmatan sedia ada,” katanya.

PHOTO 2024 11 05 00 12 55

Dalam majlis yang sama, Perpustakaan USM turut melancarkan tiga inovasi baharu yang bertujuan untuk memperluaskan akses serta mempermudah capaian maklumat kepada semua pelanggan.

Tiga inovasi tersebut adalah MOOC@USM Library yang merupakan sebuah platform pembelajaran dalam talian; Platform OpenData@USM, repositori data terbuka; dan platform RBAS (Request Book/Article System) yang dimajukan untuk menambah efisiensi proses peminjaman.

Pelbagai aktiviti menarik telah disusun sempena program tersebut, seperti Pesta Buku USM dan Resensi Buku dengan kerjasama Penerbit USM dan Kelab Sastera, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan; Simposium Perpustakaan bersama Pusat Pengajian; dan Program 3C (Coffee, Consult & Counsel) yang melibatkan kerjasama dengan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP).

Selain itu, aktiviti jualan, permainan, tayangan dan lain-lain turut diadakan sepanjang empat hari program tersebut berlangsung.

PHOTO 2024 11 05 00 12 58

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Bahagian Pemasaran, Penerbit USM yang mewakili Pengarah Penerbit USM, Mohd Zaidi Abdullah; penulis dan jemputan khas, Muhammad Hilal Asyraf Abd Razak; Pustakawan, Bahagian Korporat dan Khidmat Pelanggan, PHS USM merangkap Pengarah program, Shahriza Fadly Misaridin; serta pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Norliza Farhah Abdul Radzak/Foto: Shahnizam Ab Rahim    

  • Created on .
  • Hits: 126

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024