MAJLIS PELANCARAN BUKU 10 TAHUN TERBITAN PPIK: HARGAI SUMBANGAN PENSYARAH YANG HASILKAN KARYA BUKU
USM PULAU PINANG, 26 Oktober 2024 – Baru-baru ini, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Majlis Pelancaran Buku 10 Tahun Terbitan Pensyarah PPIK di Bilik Pameran Perpustakaan Hazmah Sendut USM.
Sepanjang tempoh sedekad ini, sebanyak 156 buah buku telah dihasilkan oleh 48 orang penulis (tidak termasuk penyumbang bab dalam buku) yang terdiri daripada pensyarah PPIK dan ada juga yang bekerjasama dengan pensyarah dari Pusat Pengajian Seni USM; Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM; Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan USM; pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur; serta pensyarah dari universiti awam dan swasta yang lain.
Objektif majlis tersebut adalah untuk menghargai jasa para pensyarah yang telah bertungkus lumus menghasilkan kajian dan penyelidikan mereka kepada bentuk buku.
Secara tidak langsung, majlis tersebut juga memperkenalkan kepada masyarakat umum dan masyarakat kampus khasnya tentang penerbitan buku yang telah dihasilkan oleh para pensyarah di PPIK.
Hadir merasmikan majlis pelancaran buku tersebut yang berlangsung pada 22 Oktober 2024 ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab.
Dalam ucapannya, beliau berkata, “Saya berbangga dengan inisiatif PPIK yang mengumpul semula semua buku yang telah diterbitkan dalam jangka waktu 10 tahun antara 2015 hingga 2024 sebagai tanda penghargaan atas jasa penerbitan dan keilmuan yang disumbangkan oleh para pensyarahnya.”
“PPIK USM mempunyai 9 buah Program yang berorientasikan kesusasteraan liberal seperti Pengajian Bahasa Melayu, Pengajian Bahasa Inggeris, Geografi, Kesusasteraan, Sejarah, Pengajian Islam, Falsafah dan Tamadun, Terjemahan dengan Interpretasi, Program Pengajian Bahasa Inggeris & Kesusasteraan (English Language & Literature Studies).
“Kepelbagaian program di PPIK ini bukan sahaja mencatat sejarah tersendiri sebagai salah satu pusat pengajian terawal yang ditubuhkan di USM malah juga merupakan pusat pengajian terbesar yang menawarkan bidang-bidang sastera.
“Keunikan bidang yang dimiliki ini dimanfaati dengan baik oleh setiap pensyarah PPIK dalam usaha mengembangkan ilmu sastera ke bentuk buku ilmiah untuk tatapan para pelajar, sarjana, penyelidik dan masyarakat umum, selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan,” katanya lagi.
Menurut Habibah lagi, diharap majlis pelancaran buku ini dapat menjadi momentum penting untuk menghidupkan kembali diskusi dan apresiasi terhadap buku-buku ilmiah yang berlatarbelakangkan bidang ilmu kemanusiaan.
Majlis tersebut turut mengundang tiga ahli panel yang pakar dalam bidang Ilmu Kemanusiaan untuk sesi Bicara Buku iaitu Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor, Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, dan Profesor Kehormat Dato’ Dr. Chan Ngai Weng.
Majlis pelancaran itu turut mendapat sumbangan tajaan daripada Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-Kanak dan Remaja, DBP Kuala Lumpur.
Yang turut hadir ialah Dekan PPIK USM, Profesor Madya Dr. Jasni Sulong.
Teks: Dr. Wan Hasmah Wan Teh, Pengarah Projek, Pelancaran Buku 10 Tahun Terbitan Pensyarah PPIK USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 148