SISWA-SISWI USM ALAMI SUASANA PEMBELAJARAN SEBENAR DI NEGARA MATAHARI TERBIT
USM PULAU PINANG, 1 November 2024 – Sekumpulan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Jepun.
Seramai 16 pelajar dan 4 orang pensyarah telah menyertai “Program Pemantapan Bahasa Jepun Bersama Universiti Setsunan” pada 20-29 September 2024.
Mereka semua adalah pelajar Perkumpulan Mahasiswa/i Kelas Bahasa Jepun Maju (LLJ 400) dari Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT).
Program tersebut telah berjaya mencapai objektif utamanya iaitu untuk memantapkan penggunaan bahasa Jepun pelajar LLJ400 dan memberi peluang kepada pelajar untuk membuka minda dan meluaskan pandangan melalui interaksi bersama orang yang memiliki budaya dan kepercayaan yang berbeza di negara asing.
Antara aktiviti yang telah dilaksanakan adalah:
- Lawatan sambil belajar ke tempat-tempat menarik di sekitar Osaka, Nara, Kyoto dan Kobe seperti Pasar Kuromon Ichiban, Dotonbori, The Disaster Reduction and Human Renovation Institution (DRI), Masjid Kobe, Taman Rusa Nara, Keramat Kohfukuji, Kiyomizudera.
- Mengikuti kelas bahasa Jepun bersama pelajar pertukaran dan menjalankan aktiviti suai kenal bersama pelajar-pelajar dengan menggunakan Bahasa Jepun sepenuhnya di Universiti Setsunan, Osaka.
- Sesi memperkenalkan budaya Malaysia dari segi persembahan tarian, permainan tradisional, dan latar belakang budaya bersama pihak Universiti Setsunan.
Kesimpulannya, program ini telah dapat dijalankan dengan jayanya kerana kelulusan dan sokongan padu dari pelbagai pihak yang terlibat.
Secara keseluruhannya, program seperti ini sememangnya dapat membawa impak positif kepada sekretariat program, peserta serta semua pihak yang terlibat.
Adalah diharapkan agar program sebegini ini dapat dijalankan lagi di masa hadapan.
Teks & Foto: Seri Yuniza binti Othman, wakil Kelas Bahasa Jepun Maju (LLJ 400), PPBLT USM
- Created on .
- Hits: 87