LARIAN RUN4LOVE SEMAI PERPADUAN DAN GAYA HIDUP SIHAT USM
USM PULAU PINANG, 3 November 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi saksi kepada semangat kesihatan dan perpaduan apabila seramai 1,929 peserta menyertai acara tahunan 'Run4Love' yang berlangsung pada awal pagi ini di Kampus Induk USM.
Majlis dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato' Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak.
Kehadiran beliau mencerminkan sokongan padu terhadap usaha komuniti untuk memupuk gaya hidup sihat dan semangat kebersamaan.
Pengarah Asia-Pacific University-Community Engagement (APUCEN) merangkap Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) USM, Profesor Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai, merakamkan penghargaan tinggi kepada TYT atas kesudian beliau hadir merasmikan program ini, dan menekankan bahawa 'Run4Love' bukan sekadar acara larian, tetapi inisiatif yang menggabungkan nilai kesihatan, kebajikan, dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat.
“Program ini menandakan kebangkitan semula program ini selepas terhenti pada tahun 2019 akibat pandemik COVID-19 yang telah mengubah kehidupan secara drastik,” kata Aileen.
“Saya berbangga dengan peranan yang dimainkan oleh APUCEN-USM dalam memastikan kejayaan program ini dan menekankan komitmen USM untuk terus mendampingi komuniti sebagai agen perubahan sosial.”
Tambahnya lagi, “Penganjuran larian pada tahun ini dianggap sebagai simbol daya tahan dan kekuatan komuniti."
Kerjasama antara USM, APUCEN, Persatuan Nilai-Nilai Murni, AK Academy, dan Pejabat Parlimen Bayan Baru menunjukkan komitmen kukuh semua pihak dalam membentuk masyarakat yang lebih sihat, prihatin, dan bersatu.
Mengakhiri ucapannya, Aileen berharap agar program 'Run4Love' ini akan terus menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan serta semangat kasih sayang dan perpaduan yang dapat disemai pada hari ini akan terus berkekalan.
Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: Shamil Shazwan Abu Bakar
- Created on .
- Hits: 91