MAJLIS PENARAFAN PEJABAT HIJAU USM MEMACU AGENDA KELESTARIAN KAMPUS
USM PULAU PINANG, 30 Oktober 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuhkan komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar melalui Majlis Penarafan Pejabat Hijau/Desasiswa Hijau USM 2024 yang diadakan buat julung kalinya di Dewan Budaya, hari ini.
Program tersebut menampilkan pelbagai inisiatif hijau yang digerakkan oleh Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM dengan kerjasama Kampus Sejahtera USM.
Dalam ucapan perasmiannya, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menekankan kepentingan penyelesaian lestari dalam setiap aspek operasi universiti.
“Program Pejabat Hijau ini adalah satu langkah penting dalam memastikan seluruh komuniti USM mendalami dan mengaplikasikan agenda kelestarian sebagai budaya kampus.
“Sungguh membanggakan melihat komitmen luar biasa Pusat-pusat Tanggungjawab (PTJ) di USM dalam usaha mencapai penarafan 5 Daun, simbol kecemerlangan kelestarian,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan ucapan oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran, yang menegaskan kepentingan inisiatif ini dalam meningkatkan kecekapan pengurusan sisa dan pemantauan amalan hijau di kampus.
“Pelancaran aplikasi GreenPulse USM sebagai platform yang memudahkan pemantauan serta penyelarasan aktiviti hijau di seluruh PTJ dan kafe di USM, akan menjadikan kampus lebih lestari,” ujar Azlan.
Di samping itu, satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai antara USM dan ADA Biotech Sdn. Bhd., yang merintis kerjasama strategik dalam bidang pengurusan sisa dan teknologi hijau, termasuk cadangan memperkenalkan penyedut minuman lestari berasaskan beras yang dijangka mengurangkan sisa plastik di kampus.
Kerjasama yang terjalin itu merupakan sinergi antara akademik dan industri dalam usaha bersama memajukan kampus lestari.
Majlis tersebut turut menyaksikan pengumuman pemenang bagi Program Penarafan Pejabat Hijau, yang mana tiga tempat teratas dan 10 hadiah saguhati telah diberikan kepada PTJ yang menunjukkan komitmen cemerlang dalam usaha kelestarian.
Pemenang:
- Tempat Pertama: Pusat Sejahtera (Hadiah: RM3,000)
- Tempat Kedua: Pusat Pengajian Pengurusan (Hadiah: RM2,000)
- Tempat Ketiga: Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (Hadiah: RM1,000)
Hadiah Saguhati (RM500 setiap satu):
- Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Kampus Induk
- Pejabat Naib Canselor
- Pusat Pengajian Sains Farmasi
- Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan
- Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT), Kampus Induk
- Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti (UKKP), Kampus Induk
- Perpustakaan (Kampus Kejuruteraan)
- Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik
- Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC)
- Unit Pemakanan & Dietetik, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).
Yang turut hadir adalah Pengasas ADA Biotech, Ts. Muhammad Akmal Amir; Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan ADA Biotech, Ma Xin Wen; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Habibah A Wahab, FASc.; Penyelaras Unit Kelestarian Kampus USM, Dr. Normaliza Abdul Manaf; juruaudit, serta pegawai-pegawai utama universiti dan wakil ADA Biotech.
Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: Shamil Shazwan Abu Bakar
- Created on .
- Hits: 133