70 SISWA/I BAHARU USM SA 2024/2025 BAKAL IKUTI PROGRAM PENGAJIAN ANTARABANGSA DOKTOR PERUBATAN DI KAMPUS PESISIR USM-KLE, BELGAUM INDIA
USM-KLE BELGAUM, KARNATAKA INDIA, 23 Oktober 2024 – Seramai 70 orang pelajar baharu USM tajaan MARA (50 pelajar) dan JPA (20 pelajar) bakal mendaftar sebagai pelajar bagi mengikuti Program Pengajian Antarabangsa Doktor Perubatan dengan usahasama Karnataka Lingayat Education Society (KLE) di Belgaum, Karnataka, India bagi Sidang Akademik 2024/2025.
Sebelum berangkat menaiki pesawat Malaysia Airlines ke Bengaluru India, para pelajar diberi taklimat ringkas yang disampaikan oleh Pegawai Pemantau Luar Negara, Bahagian Penganjuran Pelajaran MARA, Muhammad Hansah Burhanuddin.
Penolong Pengarah JPA, Nik Ahmad Syazwan Nik Azman juga hadir memberikan ucapan tahniah serta menyampaikan amanat kepada semua pelajar USM yang berjaya dipilih.
Pergerakan kumpulan pelajar tersebut dibahagikan kepada dua kumpulan kecil melibatkan seramai 54 orang pelajar yang menaiki pesawat pada 23 Oktober 2024 jam 9.00 pagi dan 16 orang pelajar pada jam 10.00 malam hari yang sama.
Mereka kemudiannya menaiki pesawat Indigo Airline dari Bengaluru-Belgaum dan dijangka sampai pada 24 Oktober 2024 di Kampus Persisir USM-KLE, Belgaum.
Turut hadir menghantar pelajar di lapangan terbang ialah ibu bapa serta sanak saudara terdekat dan perjalanan pelajar hingga selamat sampai di Belgaum diiringi oleh Timbalan Dekan USM-KLE, Profesor Madya Dr. Nik Ahmad Zuky Nik Lah.
Hadir bersama ialah tiga lagi pensyarah iaitu Pensyarah Pusat Pengajian Sains Perubatan, Dr. Nik Mohd Rizal Mohd Fakri; Dr. Muhd Al-Aarifin Ismail, dan Dr. Jamilah.
Kampus Pesisir USM-KLE Belgaum di Negeri Karnataka, India mula mengambil kemasukan pelajar pada Sidang Akademik 2010/2011 dengan kumpulan pertama seramai 48 orang dan untuk sidang ini merupakan pengambilan ke-15 bagi Sidang Akademik 2024/2025.
Berdasarkan penawaran cemerlang pengajian di bidang perubatan, program Doktor Perubatan sepenuh masa selama 5 tahun ini terus berkembang sebagai antara program terbaik yang ditawarkan USM.
Teks & Foto: Prof. Madya Dr. Nik Ahmad Zuky Nik Lah, Timbalan Dekan USM-KLE
- Created on .
- Hits: 88