USM TERIMA SUMBANGAN ZAKAT TABUNG HAJI TERTINGGI BAGI TAHUN KETIGA (2024)
USM PULAU PINANG, 24 Oktober 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menerima sumbangan zakat korporat daripada Lembaga Tabung Haji (TH) Pulau Pinang bernilai RM800,000 yang merupakan antara tertinggi buat tahun ketiga.
Sumbangan ini menjadi tanggungjawab buat USM untuk disalurkan kepada asnaf yang berhak dan memerlukan dalam kalangan warga USM mahupun komuniti setempat.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, ketika menerima simbolik mock cek dari Pengarah Lembaga Tabung Haji Wilayah Utara, Dato’ Haji Mohammad Mokhzani Mukhtar, mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan buat Lembaga Tabung Haji atas kepercayaan yang diberikan bagi mengelola sumbangan tersebut untuk edaran buat asnaf memerlukan.
“Terima kasih kepada Tabung Haji yang membantu USM dalam menyalurkan sumbangan zakat untuk diedarkan kepada asnaf-asnaf yang dikenal pasti di USM,” kata beliau dalam Majlis Sumbangan Program Iqra’ Tabung Haji IPTA 2024 yang diadakan di Dewan Muzakarah, Pusat Islam USM hari ini.
Pada masa yang sama, Abdul Rahman dalam ucapannya turut menekankan kepentingan pendidikan dalam mengubah kehidupan para pelajar yang menduduki pengajian di USM termasuk juga kehidupan keluarga mereka.
“Saya amat mengharapkan para pelajar yang dikenalpasti sebagai kategori B40 atau asnaf ini untuk mengambil peluang yang ada dengan kemudahan yang disediakan USM termasuklah bantuan yang diberikan untuk mengubah landskap kehidupan keluarga anda selepas anda tamat di USM kelak,” kata beliau.
Tambah Abdul Rahman, USM, melalui Pusat Islam, sentiasa prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi oleh para pelajar, khususnya membabitkan hal kewangan.
“Oleh itu saya berharap wang sumbangan zakat ini dapat meringankan beban kewangan mereka dan memberi keselesaan kepada pelajar untuk terus meneruskan perjuangan dalam menuntut ilmu di USM sehingga tamat,” ujarnya.
Dengan sumbangan berjumlah RM600,000 pada tahun 2022 dan RM500,000 pada tahun 2023 daripada Lembaga Tabung Haji, USM telah dapat melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat besar kepada pelajar.
Di majlis yang sama, Naib Canselor sempat meluangkan masa menyampaikan kit keperluan asas buat pelajar-pelajar asnaf USM sebagai simbolik permulaan kepada sumbangan yang telah disalurkan oleh Lembaga Tabung Haji.
Program-program seperti pembukaan akaun Tabung Haji, bantuan makanan, dan insentif akademik telah berjaya meningkatkan kesejahteraan, dan motivasi pelajar.
Seiring dengan usaha Lembaga Tabung Haji untuk memperluaskan keahliannya, Pusat Islam USM telah berjaya mendaftarkan seramai 1,364 orang pada tahun 2022 dan 1,321 orang pada tahun 2023. Kesemua pendeposit baru ini terdiri daripada kalangan Asnaf pelajar USM.
Turut hadir menyampaikan sumbangan adalah Pengarah Lembaga Tabung Haji Wilayah Utara, Dato’ Haji Mohammad Mokhzani Mukhtar; Pengarah Lembaga Tabung Haji Cawangan Pulau Pinang, Hajjah Maznizan Mamat; Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Mohammad Shukri Osman; Timbalan Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zhari; serta pegawai-pegawai utama USM dan Tabung Haji.
Teks: Norliza Farhah Abdul Radzak/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 123