KOLABORASI USM-GLTECH SEMICONDUCTOR MALAYSIA SDN. BHD. PACU KEPIMPINAN MALAYSIA DALAM TEKNOLOGI SEMIKONDUKTOR
USM PULAU PINANG, 21 Oktober 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) bersama GLTech Semiconductor Malaysia Sdn. Bhd. telah memeterai satu Perjanjian Kolaborasi (CA) bagi memajukan penyelidikan, teknologi, dan inovasi dalam industri semikonduktor, khususnya dalam proses dicing bagi peranti optoelektronik dan elektronik.
Majlis pertukaran CA telah dilangsungkan hari ini dan disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab mewakili Naib Canselor USM, bersama Pengarah, GLTech Semiconductor, Burton Ng Chin Kuan.
Di bawah perjanjian tersebut, Institut Penyelidikan dan Teknologi Nano Optoelektronik (INOR), USM bakal menerima sebuah mesin dicer dan wafer mounter automatik yang bernilai lebih RM800,000 daripada GLTech Semiconductor Malaysia Sdn. Bhd., yang mana ia merupakan mesin dicing bertaraf industri pertama yang ditempatkan di sebuah universiti di Malaysia.
Menurut Habibah, peralatan canggih itu mempunyai pelbagai aplikasi yang dapat menyokong penyelidikan dan pembangunan dalam fabrikasi dan pembungkusan, bukan sahaja untuk manfaat komuniti akademik tetapi juga untuk industri dan institusi penyelidikan.
Habibah dalam ucapannya juga memetik kata-kata YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat baru-baru ini, “Universiti Sains Malaysia menelusuri AI semikonduktor selari dengan status Malaysia sebagai hub semikonduktor dunia yang meningkatkan kerjasama termasuk dengan Intel dan Infineon.”
“Maka dengan kolaborasi ini, kita bukan sahaja menyumbang kepada visi nasional tersebut tetapi juga memastikan bahawa kita berada pada kedudukan yang terbaik untuk memacu kepimpinan Malaysia dalam teknologi semikonduktor,” ujarnya.
Sementara itu, Ng pula merakamkan ucapan terima kasih beliau kepada pihak USM di atas peluang kolaborasi ini dengan INOR yang merupakan sebuah Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE).
Beliau berpendapat bahawa kolaborasi tersebut sangat penting dan selaras dengan Strategi Semikonduktor Nasional yang dilancarkan pada Mei 2024 yang menetapkan hala tuju jelas untuk masa depan industri semikonduktor negara.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah INOR USM, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Zamir Pakhuruddin, dan pegawai-pegawai utama INOR.
Teks: Norliza Farhah Abdul Radzak/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 142