NAIB CANSELOR TEKANKAN KEPENTINGAN STEM DAN TREND INDUSTRI KEJURUTERAAN KEPADA PELAJAR BAHARU
NIBONG TEBAL, 10 Oktober 2024 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menekankan pentingnya penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) kepada 749 pelajar baharu Kampus Kejuruteraan.
Menurut beliau, bidang kejuruteraan di Malaysia sedang berkembang pesat, khususnya dalam era Revolusi Industri 4.0 yang mana ianya akan menuntut lebih ramai jurutera berkelayakan dan berkompetensi di Malaysia selepas ini.
“Penglibatan dalam bidang STEM ini bukan sahaja dapat memperkayakan pengetahuan, malah ia dapat membangunkan kemahiran yang kelak akan menjadi aset berharga dalam kerjaya pelajar pada masa hadapan,” ujar Naib Canselor.
Selain daripada itu, dua trend utama yang sedang berkembang dalam bidang kejuruteraan iaitu kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy) turut ditekankan oleh Naib Canselor sepanjang menyampaikan amanatnya kepada siswa dan siswi baharu Sidang Akademik 2024/2025 ini.
“Kedua-duanya mempunyai potensi besar untuk memacu kelestarian dan inovasi di Malaysia,” kata beliau semasa berlangsungnya Majlis Sambutan Siswa sempena Program Siswa Lestari Sidang Akademik 2024/2025 Kampus Kejuruteraan di sini.
“Ia bukan sahaja akan menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), tetapi juga boleh mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor tenaga hijau sambil membantu negara mengurangkan jejak karbon,” ujarnya.
Dalam ucapannya, Rahman turut mengumumkan beberapa inisiatif Universiti untuk meningkatkan pengalaman pelajar di USM melalui kerja naik taraf kemudahan kampus seperti gelanggang bola sepak, bola tampar, bola jaring, dan bola keranjang, serta ruang santai pelajar (Student Lounge).
“Naik taraf di desasiswa seperti penggantian lantai simen kepada jubin dan projek mengecat semula 90 buah bilik di bangunan SH6 juga sedang dilaksanakan secara berperingkat,” kata beliau.
“Selain itu, masalah tekanan air rendah yang telah berlarutan selama hampir 10 tahun di kampus ini juga telah diselesaikan melalui penyerahan tangki air baharu berkapasiti 1.5 juta liter baru-baru ini untuk memastikan keperluan bekalan air seluruh warga kampus sentiasa mencukupi,” kata Naib Canselor lagi.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kampus Kejuruteraan USM, Syed Muhammad Zakwan Syed Zaman dalam ucapan beliau mengingatkan pelajar baharu bahawa perjalanan sebagai pelajar universiti bukanlah mudah, dan cabaran yang bakal dihadapi adalah peluang untuk membina kekuatan diri serta minda kritis.
“Seimbangkan masa antara pelajaran dan aktiviti lain sebaiknya kerana pembelajaran bukan hanya berlaku di dalam dewan kuliah dan makmal, tetapi juga melalui interaksi, pengalaman, dan penyertaan anda dalam pelbagai aktiviti,” ujarnya.
Selain daripada itu, beliau turut menekankan kepentingan menjaga adab dalam usaha menuntut ilmu dan menghargai usaha pensyarah serta staf universiti.
"Adab bukan sahaja mencerminkan keperibadian kita, malah akan membentuk kita menjadi individu yang lebih baik dan berjaya di masa hadapan,” tambah Syed.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 103