BANTU B40, TINGKAT KEMAHIRAN TVET MAHASISWA; PROGRAM RODA PRIHATIN BERI IMPAK BERGANDA
USM PULAU PINANG, 18 Oktober 2024 – Program Roda Prihatin, iaitu inisiatif khas servis menukar minyak hitam secara percuma yang dikhususkan buat staf Universiti Sains Malaysia (USM) dalam kumpulan B40 berjaya memberi impak yang signifikan.
Malah, ia bukan sekadar mempamerkan keprihatinan Universiti terhadap kumpulan B40, namun turut memperkasa kemahiran pelajar USM dalam bidang TVET, sekaligus memberi manfaat dalam bentuk nilai tambah kepada kemahiran bakal graduan USM.
Menurut Pengarah Jaringan Masyarakat USM, Dr. Ainul Mohsein Abdul Mohsin, Roda Prihatin adalah kolaborasi strategik di antara Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) serta Sekretariat Integration Balance of Skills (IBOS), USM.
“Program ini mula diperkenalkan pada Mei lalu dengan melibatkan penyertaan pelajar melalui IBOS di dua buah kampung di Sungai Bakap dan kini dikembangkan kepada komuniti USM yang memerlukan.
“Ia turut dilihat membawa impak yang besar kepada kumpulan sasaran yang ditetapkan dan dan menjadi salah satu platform yang berupaya untuk memberi sumbangan ke arah kesejahteraan komuniti USM,” ujar beliau ketika melancarkan program berkenaan di Kompleks Cahaya Siswa, hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor JIM, Profesor Dr. Azlan Amran; Timbalan Naib Canselor HEPA, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Penasihat 1 Sekretariat IBOS, Ts. Dr. Baharuddin Abd Rahman; Yang Dipertua Sekretariat IBOS, Wan Mohamad Shafiq Haikal Wan Hamid; dan sebagainya.
Dalam pada itu, Wan Mohamad Shafiq pula berkata, IBOS menzahirkan penghargaan kepada BJIM atas kepercayaan untuk berkolaborasi bagi menjayakan program pada kali ini.
“Saya teruja kerana IBOS dapat menyumbang sesuatu kepada komuniti USM yang memerlukan. Walaupun ia hanya program selenggara minyak hitam namun saya percaya bahawa ia dapat meringankan sedikit beban,” ujar beliau.
Dalam pada itu, program Roda Prihatin yang julung kali diadakan dalam kampus itu melibatkan 105 buah motosikal pelbagai jenis dan servis tukar minyak hitam secara percuma yang dikendalikan oleh para pelajar terlatih.
Ia dapat menjimatkan kos sekitar RM50 ke RM75 jika sekiranya para peserta mendapatkan servis berkenaan di mana-mana bengkel motosikal.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 147