HOSPITAL USM KINI DIJENAMAKAN SEMULA KEPADA HOSPITAL PAKAR USM (HPUSM)
USM PULAU PINANG, 10 Oktober 2024 – Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) kini dijenamakan semula kepada Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).
Menurut Pengarah Kampus HPUSM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail dalam satu hebahan yang dikeluarkan kelmarin, langkah itu selari dengan penubuhan Hospital Pakar USM sebagai Hospital Pengajar Universiti (HPU) yang memberi keutamaan kepada aspek pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan perkhidmatan perawatan.
“Ia juga dapat membezakan HPU dengan hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan.
“Penukaran nama itu sangat bersesuaian dan selari dengan bidang-bidang kepakaran yang dimiliki oleh pakar perubatan atau pensyarah perubatan di hospital berkenaan,” katanya.
Shaiful Bahari memberitahu, selain itu, ia dapat meningkatkan imej dan menjadi pilihan utama masyarakat setempat bagi menerima rawatan berdasarkan perawatan kepakaran yang berkaitan.
Menurutnya lagi, HPUSM akan sentiasa ke hadapan dan memberi keutamaan kepada golongan yang memerlukan dalam merealisasikan agenda negara, Malaysia MADANI.
“Agenda itu merupakan usaha memastikan rakyat Malaysia sihat sejahtera, memiliki status kesihatan yang baik, produktif dan berdaya tahan.
“Pengurusan HPUSM juga akan memastikan kelangsungan perkhidmatan perawatan kesihatan, pendidikan dan pengajaran dapat disempurnakan dengan baik dan berkesan,” ujarnya.
Cadangan penukaran nama baharu hospital terbabit telah diluluskan oleh Mesyuarat ke-158 Lembaga Gabenor Universiti (LGU) pada 21 Ogos lalu.
Selaku institusi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), HPUSM kekal komited menyediakan prasarana terbaik untuk melatih pelajar-pelajar Perubatan, Pergigian dan Sains Kesihatan di peringkat Ijazah Pertama dan Ijazah Tinggi dalam melahirkan tenaga profesional kepada negara serta dalam masa yang sama menawarkan kemudahan rawatan perubatan pelbagai kepakaran kepada rakyat.
HPUSM juga turut menjadi medan penyelidikan pelbagai disiplin perubatan bagi manfaat negara dan dunia pada masa hadapan.
Dari semasa ke semasa, HPUSM juga akan meneruskan usaha pemindahan ilmu kepada masyarakat dengan turun padang mengadakan pelbagai aktiviti bersama komuniti.
HPUSM demi rakyat, demi negara, demi nusa.
Sumber: Hebahan Umum bertarikh 9 Oktober 2024 yang dikeluarkan MPRC Kampus Kesihatan USM/Teks: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 199