USM, USAINS GROUP RINTIS PROGRAM HIBRID: PELUANG PELAJAR B40 TEROKA JEPUN
PULAU PINANG, 14 Oktober 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama USAINS Group dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang melancarkan Program Hibrid Pendidikan & Pengalaman Antarabangsa (HEIEP) 2024, sebuah inisiatif yang menyasarkan pelajar komuniti B40 untuk merapatkan jurang pendidikan melalui kaedah pembelajaran hibrid dan peluang menjejakkan kaki ke Jepun untuk kali pertama.
Program tersebut memberikan peluang kepada 15 pelajar daripada beberapa buah sekolah terpilih di Pulau Pinang untuk berkunjung ke Setsunan University dan Keiko High School di Osaka, Jepun, sekali gus merasai pengalaman unik pembelajaran antarabangsa.
Inisiatif ini diilhamkan bagi memperkasa pelajar dari latar belakang yang kurang berkemampuan dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta meningkatkan kemahiran sosio-emosi mereka.
Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin menyambut baik kerjasama USM dan USAINS serta berharap program ini menjadi acara tahunan yang terus memperkasa pendidikan inklusif melalui amalan kelestarian.
"Saya berharap inisiatif ini menjadi acara tahunan dan menyeru pihak berkepentingan menyokong usaha pembiayaan kolektif kerana program ini sangat berharga sebagai pemangkin motivasi bagi pelajar, guru, dan pentadbir sekolah terpilih," ujar beliau.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed pula menekankan bahawa program ini bukan sahaja menyokong pendidikan STEM, tetapi juga memupuk semangat pelajar untuk meneruskan pendidikan tinggi dalam bidang sains dan teknologi.
Beliau menyifatkan pengalaman silang budaya sebagai elemen penting untuk menjadikan pelajar lebih berdaya saing di peringkat global.
Menurut Abdul Rahman lagi, “Melalui interaksi dengan rakan antarabangsa dan penyertaan dalam pertukaran budaya, pelajar akan memperoleh pengalaman lintas budaya yang penting, yang memberdayakan mereka menjadi warganegara global yang bertanggungjawab dan berinformasi serta bersedia untuk cemerlang dalam dunia yang semakin kompetitif.”
Sementara itu, Pengarah Urusan USAINS Group, Farid Wajidi Mat Yusoff berkata, HEIEP 2024 mencerminkan komitmen mereka untuk mendemokrasikan akses kepada pendidikan berkualiti.
“Kami berharap program ini dapat menyemarakkan semangat pembelajaran dan inovasi dalam kalangan pelajar yang kurang diwakili.
"Inisiatif inovatif ini dijangka merevolusikan pendidikan sekolah menengah rendah dengan menggabungkan kaedah pembelajaran hibrid bersama pengalaman antarabangsa yang mencabar,” tambahnya.
Salah seorang peserta, Arrissa dari SMK Dato’ Haji Hassan Noh, meluahkan keterujaannya untuk ke Jepun dan menaiki kapal terbang buat kali pertama, satu pengalaman yang tidak pernah dibayangkan sebelumnya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada USM dan USAINS serta semua penaja kerana merealisasikan impian saya,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, hari ini.
Seorang lagi pelajar, Suba dari SMK Air Hitam turut berkongsi rasa syukur.
"Berasal dari keluarga dengan ibu tunggal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, saya tak pernah bayangkan saya akan ke Jepun. Saya berjanji untuk membuat ibu saya bangga, belajar bersungguh-sungguh, dan berkongsi segala yang saya pelajari dengan semua rakan di sekolah saya bila saya pulang ke tanah air nanti," katanya.
Dengan inisiatif ini, USM dan USAINS bukan sahaja memperkukuh peranan mereka dalam bidang pendidikan, tetapi juga membuka jalan untuk lebih banyak kerjasama antarabangsa yang memberi impak kepada masyarakat yang memerlukan.
Yang turut bersama di LTAPP untuk majlis pelepasan pelajar ke Jepun itu ialah Ketua Pendidikan merangkap Ketua Program HEIEP 2024, USAINS Holding Sdn. Bhd., Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail.
USAINS Holding Sdn. Bhd. adalah cabang korporat USM yang memberi tumpuan kepada penyelidikan, perundingan dan inisiatif pendidikan.
Teks: Shafinaz Md. Ismail & Tan Ewe Hoe/Foto: Shamil Shazwan Abu Bakar
- Created on .
- Hits: 166