USM PERJUANGKAN ISU MENTAL DI PENTAS PIDATO KESEJAHTERAAN MENTAL (PENTAL) 2024 – PIALA KP KPT
USM PULAU PINANG, 11 Oktober 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui inisiatif Unit Perhubungan Staf, Bahagian Sumber Manusia telah menganjurkan Pentas Pidato Kesejahteraan Mental (PENTAL) USM 2024 Piala Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi yang julung kalinya diadakan di Dewan Budaya bersempena Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan Tahun 2024.
Objektif PENTAL adalah untuk memperkasakan kesedaran mengenai kesejahteraan mental melalui perbahasan isu-isu berkaitan kesejahteraan mental dan pengurusan emosi, serta sekaligus mempromosikan perkhidmatan perundingan dan bantuan psikososial yang disediakan di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh Malaysia.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, hadir bagi memberi sokongan penuh kepada penganjuran PENTAL di USM menyatakan kegembiraannya dengan penganjuran pertandingan pidato itu dan menzahirkan rasa bangga dapat menyumbang melalui Piala Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi sebagai penghargaan.
Azlinda menegaskan, “Kementerian Pendidikan Tinggi menyokong penuh usaha ini dalam memperkasakan kesedaran tentang kesejahteraan mental dalam kalangan staf institusi pengajian tinggi awam, swasta, serta agensi awam di seluruh Malaysia.”
“Usaha ini seiring dengan prinsip Kerajaan MADANI yang menekankan kemampanan, kepercayaan, rasa hormat, inovasi, dan keprihatinan yang berkait rapat dengan kesihatan mental,” ujar beliau lagi.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, dalam ucapannya pula berkata, “USM komited menangani isu kesejahteraan mental dalam kalangan kakitangan dan pelajar melalui pelbagai usaha holistik yang sedang dilaksanakan, bagi memastikan kesejahteraan mental warga USM berada pada tahap terbaik."
Tambah beliau, “Pelbagai inisiatif seperti Siri Podcast Sembang Kaunselor HR, Program Minda Sejahtera (ProMiSe), Program INSPIRE, Wacana Antarabangsa (WaKEP International), serta Profiling Digital Kesihatan Psikologi (MyPsyD) diadakan bagi memenuhi agenda pihak universiti ke arah kesejahteraan bersama.”
PENTAL mempertaruhkan piala KP KPT sebagai piala kemenangan kepada juara pertandingan ini yang melibatkan sasaran peserta dalam kalangan staf IPT awam, swasta serta agensi awam di Malaysia.
Berikut adalah peserta PENTAL yang dinobatkan sebagai pemenang:
- Johan: Mohammad Anas Roslan (Jabatan Pendidikan Negeri Kedah); Tajuk: Kesejahteraan Mental Tanggungjawab Bersama
- Naib Johan: Mohd Norhafifi Zolkiaply (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia); Tajuk: Jangan Mati Rasa Itu
- Tempat Ketiga: Dr. Ahmad Mustaqim Yusoff (Taylors University); Tajuk: Kesejahteraan Mental: Kunci Kepada Kehidupan Yang Lebih Bahagia
Majlis dimeriahkan dengan kehadiran Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff; Pendaftar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Psikologi & Kaunseling Staf Universiti, Fazielah Mohamad; Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, Hirman Awang@Semail; Pegawai Psikologi USM merangkap Pengarah Projek PENTAL 2024, Muhammad Firdaus Abu Mansor; serta barisan urus setia dan pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: Shamil Shazwan Abu Bakar
- Created on .
- Hits: 240