USM BUKA PELUANG PENGAJIAN KEPADA SEMUA GOLONGAN – NAIB CANSELOR
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 Oktober 2024 – “Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa terbuka kepada semua kelompok termasuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar USM dan pada kemasukan kali ini, Kampus Kesihatan menerima seorang pelajar OKU yang akan mengikuti Program Audiologi di Pusat Pengajian Sains Kesihatan.
“Hal ini dibuktikan lagi apabila Kampus Kesihatan sedang giat memastikan kemudahan dan infrastruktur mesra OKU sentiasa ditambah baik selari dengan landasan kedua puluh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menggariskan bahawa sektor pendidikan tinggi negara perlu inklusif dan terbuka kepada semua kelompok termasuk golongan OKU sama ada pelajar mahupun warga kerja,” demikian kata Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Menurut beliau, USM juga sentiasa prihatin kepada nasib dan kebajikan para pelajar yang berada dalam tahap kemiskinan atau B40 seperti Program Siswa SULUNG USM.
“Usah malu jika berada dalam kumpulan ini kerana peluang untuk berjaya, terbuka dan sama rata kepada semua asal sahaja bersedia mengambil setiap peluang yang ada bertemu dengan pihak yang bersedia membantu,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Sambutan Siswa Sidang Akademik 2024/2025, hari ini.
Tambah Abdul Rahman, USM turut menyediakan pelbagai kemudahan lain untuk para pelajar agar mereka mendapat pengalaman pembelajaran terbaik.
“Antara kemudahan baharu yang disediakan untuk mahasiswa di Kampus Kesihatan termasuk ruangan ‘Learning Space’, padang bola sintetik (Kopa Arena), trek basikal lasak, laluan ‘jogging’ dan gelanggang futsal yang dinaik taraf untuk aktiviti pelajar serta Dataran Usahawan Siswa (DUSis) bagi membuka peluang pekerjaan kepada para pelajar di samping mengasah bakat menjadi usahawan muda.
“Ambillah kesempatan sepenuhnya dengan menyertai lebih daripada 30 persatuan serta pertubuhan pelajar yang ada di Kampus Kesihatan termasuk menyertai pelbagai aktiviti kesukarelawanan yang sering dianjurkan oleh universiti dan manfaatkanlah kemudahan yang ada dengan sebaik mungkin kerana ia akan memberi pengalaman baharu.
“USM juga mempunyai Hospital Pengajar Universiti (HPU) dengan kemudahan sokongan klinikal yang lengkap bagi menyokong pelajar klinikal program Doktor Perubatan, Kejururawatan dan pascasiswazah menjalani kursus klinikal mereka,” katanya.
Selain itu, Abdul Rahman berkata, para pelajar sangat bertuah kerana dapat memasuki USM, satu-satunya universiti berstatus APEX di Malaysia.
“Sebagai sebuah universiti yang dipilih sebagai pemacu kecemerlangan, Program APEX ini adalah selari dengan matlamat dan hasrat yang dirangkumkan dalam Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Malaysia 2023-2025 iaitu I. Penyediaan Bakat Terbaik Negara; II. Pengukuhan Ekosistem Penyelidikan dan Inovasi; III. Pelaksanaan Pendekatan Baharu Program Pemindahan dan Perkongsian Ilmu; IV. Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi; dan V. Pemantapan Ekosistem Pemboleh Daya.
“Fokus utama USM APEX ialah ‘Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok’,” ujarnya lagi.
Abdul Rahman turut berharap agar siswa-siswa baharu menjadi bakal pemimpin masa hadapan yang akan memimpin institusi, masyarakat dan negara dalam bidang kesihatan, perubatan dan pergigian.
“Masyarakat dan negara memerlukan khidmat profesional anda semua yang sentiasa menjaga dan mengutamakan adab, akhlak dan etika serta berintegriti dalam setiap tindakan untuk menjamin kesejahteraan masyarakat kita pada masa hadapan,” jelasnya.
Seramai 638 pelajar mendaftar diri di Kampus Kesihatan bagi Sidang Akademik 2024/2025 dengan bilangan pelajar perempuan 474 orang atau 74 peratus (%) berbanding 164 orang pelajar lelaki atau 26%.
Mereka merupakan sebahagian daripada 4,807 calon yang telah ditawarkan tempat di USM daripada sejumlah 61,157 calon yang memohon untuk menyambung pengajian di USM Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan-timbalan Naib Canselor USM; Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Bendahari USM, Rafizal Abd Rahim; Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman; Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman; timbalan-timbalan dekan; ahli-ahli senat universiti dan pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 146