4,807 PELAJAR BAHARU DAFTAR DI USM BAGI SA 2024/2025
USM PULAU PINANG, 4 Oktober 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kemasukan 4,807 pelajar baharu untuk mengikuti pelbagai program pengajian Sarjana Muda bagi Sidang Akademik (SA) 2024/2025, bermula hari ini.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, mereka adalah calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi, Diploma atau yang setaraf dengannya yang mendaftar bagi mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda (sepenuh masa) dan Diploma bagi kesemua saluran kemasukan di USM bagi SA 2024/2025.
Kata beliau, daripada jumlah itu, seramai 1,700 pelajar adalah lelaki manakala selebihnya iaitu 3,107 lagi adalah pelajar perempuan.
“Berdasarkan unjuran rasmi USM iaitu 3,888 bagi pengambilan saluran perdana (UPU) SA 2024/2025, seramai 3,942 calon telah berjaya ditawarkan kemasukan ke USM meliputi kesemua kampus.
Jumlah ini bagaimanapun tidak termasuk 75 calon dari Feeder USM (Pra U-USM) dalam aliran Sains Hayat Kolej Mara Kulim yang akan melanjutkan pengajian Doktor Perubatan di USM-KLE, India,” katanya di sini, hari ini dalam sidang media khas yang diadakan sempena kemasukan pelajar baharu USM.
Menurut Abdul Rahman, bagi kategori B40, sebanyak 1,500 calon ditawarkan untuk menyambung pengajian melalui saluran UPU bagi ketiga-tiga kampus USM, yang merangkumi 31.2 peratus daripada jumlah pelajar baharu.
“Inisiatif ini adalah bagi membuka peluang kemasukan pelajar kepada golongan tercicir dan kurang berkemampuan agar mereka juga dapat melanjutkan pengajian di USM,” katanya.
Katanya lagi, USM juga menyahut hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan melaksanakan Program Siswa SULUNG Malaysia yang bertujuan membantu anak-anak daripada keluarga B40 yang menjadi individu pertama dalam keluarga tersebut melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
“Sehingga kini, seramai 1,008 pelajar telah menerima tawaran Siswa SULUNG di USM, dengan 200 pelajar ditawarkan pada SA 2024/2025 ini,” katanya yang turut memberitahu, USM juga memberi perhatian kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) dalam usaha merealisasikan impian mereka untuk memperolehi ijazah dari universiti itu.
Jelasnya, ketika ini, seramai 20 calon OKU telah ditawarkan tempat di ketiga-tiga kampus USM dan mereka akan menikmati kemudahan khas termasuk di Desasiswa Aman Damai yang menyediakan fasiliti mesra OKU, seperti tandas khas, platform kerusi roda, dan parkir kenderaan yang berhampiran dengan bilik mereka.
Menurut Abdul Rahman lagi, dalam usaha memperkasakan sukan negara, seramai 21 atlet negeri dan negara turut ditawarkan tempat di USM melalui saluran warga sukan.
“USM komited untuk membantu mengembangkan bakat mereka sambil memastikan mereka mendapat pendidikan yang seimbang bagi melahirkan graduan holistik.
“Selain itu, USM turut mendapat perhatian antarabangsa apabila berjaya membuat 536 tawaran yang diberikan kepada calon antarabangsa dari 18 negara untuk menyambung pengajian di sini.
“Negara-negara tersebut termasuk Afghanistan, Arab Saudi, Bangladesh, China, Cyprus, Emiriah Arab Bersatu (UAE), India, Indonesia, Iran, Jepun, Nigeria, Oman, Pakistan, Panama, Qatar, Singapura, Zambia dan Thailand,” katanya.
Empat pelajar Orang Asli turut mendaftar, menunjukkan komitmen USM terhadap pendidikan inklusif.
Pendaftaran tahun ini juga mencatatkan beberapa keunikan dengan kehadiran lima pasangan kembar yang mendaftar serentak di Dewan Utama Pelajar, mencipta suasana unik di kampus yang menarik perhatian ramai termasuk pihak media.
Semua pelajar baharu akan terlibat dalam Program Siswa Lestari yang memfokuskan agenda kecemerlangan universiti termasuk kelestarian, pembangunan pelajar berstruktur, serta kebajikan dan kesejahteraan mental.
Program ini selaras dengan Pelan Strategik USM APEX yang bertujuan memberikan Pengalaman Pembelajaran dan Kehidupan yang Cemerlang (Outstanding Learning and Living Experience) kepada para pelajar.
Turut hadir di sidang media khas tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff; Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Roslan Ismail; dan Pengarah Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC) USM, Profesor Dr. Lee Keat Teong.
Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md Isa & Shamil Shazwan Abu Bakar
- Created on .
- Hits: 427