USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, AMMI METERAI KERJASAMA UNTUK PEMBANGUNAN TEKNOLOGI PERUBATAN DI MALAYSIA

mou ammi 1

PULAU PINANG, 5 Oktober 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Industri Perubatan Malaysia (AMMI) di Malaysia Medtech Industry Summit 2024 yang berlangsung di G Hotel Gurney, Pulau Pinang, baru-baru ini.

MoU tersebut bertujuan untuk mempergiatkan dan meningkatkan jaringan kerjasama USM dalam pembangunan produk peranti perubatan yang terkini.

Majlis penandatanganan MoU tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah INFORMM, Profesor Madya Dr. Aziah Ismail yang mewakili Naib Canselor USM, dan Pengerusi AMMI, Andy Lee Kuan Min.

mou ammi 2

Andy dalam ucapannya berkata, pihak AMMI berharap dapat mewujudkan dan memperluaskan peluang kerjasama dalam bidang teknologi peranti perubatan, sekali gus memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Kami sangat menghargai kerjasama ini dan berharap kolaborasi ini dapat diteruskan dalam jangka masa yang lebih panjang untuk meningkatkan ilmu baharu dalam bidang peranti perubatan,” ujar beliau.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Muralitharan Paramasua; Naib Pengerusi AMMI, John Ward; serta pegawai-pegawai utama USM dan AMMI.

mou ammi 3

Ditubuhkan pada 1989, Persatuan Industri Perubatan Malaysia (AMMI) mewakili syarikat pengeluar peranti perubatan terkemuka dalam industri teknologi perubatan di Malaysia. AMMI kini mempunyai 95 syarikat ahli dan secara kolektif, mereka menyumbang lebih separuh daripada jumlah hasil eksport peranti perubatan “Buatan Malaysia”.

AMMI telah diiktiraf sebagai suara industri teknologi perubatan Malaysia, dan ia memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan sektor tersebut.

Teks: Nour Aida Azreena Ahmad Zulman, INFORMM/Suntingan: Shafinaz Md Ismail/Foto: Suriya Mohamed Daud, INFORMM

  • Created on .
  • Hits: 110

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024