KAFEBUKU@USM: PUPUK BUDAYA MEMBACA, PERKASA INDUSTRI BUKU
USM PULAU PINANG, 17 September 2024 – Selaras dengan perkembangan era digital, Koperasi Universiti Sains Malaysia Berhad (Koperasi USM Bhd.) telah menyusun semula operasi perniagaan bukunya dengan penjenamaan baharu KafeBUKU@USM.
KafeBUKU@USM yang diusahakan secara berkolaborasi dengan rakan strategik Profast Media memberi fokus kepada perkhidmatan perbekalan dan pengedaran buku teks, rujukan, ilmiah, kreatif dan popular serta buku umum kepada rangkaian perpustakaan, pusat sumber di universiti, perpustakaan awam dan agensi kerajaan.
Majlis pelancaran KafeBUKU@USM di Pese’ban Agung, Pusat Pengajian Seni USM pada pagi ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin.
Menurut Shaharum, pelancaran KafeBUKU@USM hari ini bertujuan untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan warga USM khasnya dan masyarakat amnya.
“Saya amat berharap KafeBUKU@USM dapat dipromosi sebagai tempat membaca dan membeli buku serta sebagai mercu tanda baharu di USM untuk dikunjungi pelawat, tetamu dan orang awam.
“BHEPA sedia bekerjasama dengan pihak Penerbit, Perpustakaan dan Koperasi USM untuk menjayakan program membaca dan budaya ilmu serta projek keusahawanan pelajar dalam dunia perbukuan.
“Kemudahan menyewa buku perlu disediakan dan malah kemudahan membeli buku dalam talian sudah disediakan oleh pihak Koperasi dan Penerbit USM melalui kafebuku.my dan emdash.my,” tambahnya.
Kata Shaharum lagi, selain itu, usaha ini turut mempromosikan Kelab Usahawan Buku di universiti awam sebagai platform melahirkan usahawan buku dan mencipta peluang kerjaya baharu dalam bidang penerbitan, teknologi dan perniagaan fanchise buku fizikal dan digital.
Menurut Pengerusi Profast Media, Dr. Abdul Aziz Hussin pula, “Majlis Pelancaran KafeBUKU@USM merupakan kesinambungan kepada pelbagai bentuk ikhtiar kita dalam mengembangkan majlis ilmu, yang kebetulannya pula diadakan di institusi keilmuan ulung negara iaitu USM.”
“Inilah juga harapan Profast Media supaya kita menggerakkan usaha bersama dengan Koperasi, Pusat Pengajian dan Jabatan di USM seperti Penerbit USM dan Perpustakaan USM,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Koperasi USM Berhad, Profesor Dr. Md Roslan Hashim berkata, “Dengan kepakaran yang ada di KafeBUKU@USM, ia menyediakan perkhidmatan kepada pimpinan institusi yang berminat untuk mewujudkan perpustakaan mini di institusi atau lokaliti yang sesuai melalui konsep ‘from concept to reality’.
“Sehubungan dengan itu, koperasi merancang untuk melaksanakan projek dengan beberapa kawasan Parlimen atau DUN bagi melaksanakan projek perpustakaan mini ini,” menurut Roslan lagi.
Harapan Roslan juga adalah agar projek seumpama ini dapat memperkukuh jaringan dalam kalangan ahli akademik, penyelidik, penerbit, perpustakaan serta pemimpin masyarakat setempat dalam memperkasa industri buku negara.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Pulau Pinang, Zainab A. Raman; Pengerusi Kluster Agama, Falsafah dan Ketamadunan, Akademi Profesor Malaysia, Profesor Emeritus Dato’ Seri Dr. Md Salleh Yaapar; Pengarah Penerbit USM, Profesor Madya. Dr. Nazarudin Zainun; pegawai-pegawai utama USM serta tetamu-tetamu jemputan dan warga Ahli Koperasi USM Berhad.
Teks: Adlin Aina Jamaludin (pelajar latihan industri)/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Shamil Shazwan Abu Bakar
- Created on .
- Hits: 72