USM – ASP MEDICAL CLINIC METERAI MoA, PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK DALAM KURSUS KEJURURAWATAN
USM PULAU PINANG, 4 Oktober 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) bersama ASP Medical Group telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi memperkukuh jalinan kerjasama strategik dalam bidang kejururawatan.
Kerjasama ini bertujuan untuk menyediakan biasiswa kepada pelajar Diploma Kejururawatan USM.
Kolaborasi ini membuka peluang kepada pelajar terpilih dalam kursus tersebut untuk menerima sokongan kewangan, di samping motivasi tambahan bagi melengkapkan pengajian mereka.
Majlis menandatangani MoA telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran yang mewakili Naib Canselor USM, bersama Ketua Pegawai Eksekutif ASP Medical Clinic Sdn. Bhd., Dato’ Tommy Tan Meng Lee, dan disaksikan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Prof. Dr. Wan Rosli Wan Ishak serta Presiden ASP Medical Group Sdn. Bhd., Dr. Yeap Gim Ean.
Azlan dalam ucapannya berkata, pelajar terpilih yang menerima manfaat daripada biasiswa ini akan memperolehi bukan sahaja bantuan kewangan tetapi juga peluang untuk mengembangkan kemahiran dan pengetahuan yang relevan untuk keperluan industri kesihatan masa kini.
"Tunjang utama dalam sistem penjagaan kesihatan adalah bidang kejururawatan, dan melalui program biasiswa ini, USM komited untuk membantu melahirkan generasi jururawat yang lebih kompeten, profesional, dan berdedikasi," katanya.
Tambah beliau lagi, "Usaha memastikan pelajar USM bukan sahaja cemerlang dalam aspek akademik, tetapi juga mempunyai pengalaman dan kebolehan praktikal yang akan menjadikan mereka pemimpin dalam bidang masing-masing, adalah selari dengan kerjasama ini."
Sementara itu, Yeap pula berkata, pihaknya menyambut baik kerjasama berkenaan dan inisiatif ini melambangkan komitmen ASP Medical Group terhadap usaha membimbing generasi akan datang dalam penjagaan kesihatan profesional, selain sebagai usaha bersama menangani kekurangan kritikal jururawat dalam sektor penjagaan kesihatan di Malaysia.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah ADUN Pulau Tikus, YB Tuan Joshua Woo Sze Zeng, yang juga Ahli Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi Kesihatan, serta Pengarah Jaringan Industri USM, Prof. Madya Dr. Shaizatulaqma Kamalul Ariffin, bersama pegawai-pegawai utama daripada USM dan ASP Medical Clinic.
Teks: Shafinaz Md Ismail/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 149