USM DAN GSH PRECISION TECHNOLOGY SDN. BHD. JALIN KERJASAMA, PERKUKUH PENYELIDIKAN SEKTOR SEMIKONDUKTOR
USM PULAU PINANG, 30 September 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama GSH Precision Technology Sdn. Bhd. sebagai usaha memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua pihak.
Majlis penandatanganan itu telah membuka peluang kerjasama yang baharu, menggabungkan aspek kepakaran akademik USM dan pengalaman serta teknologi yang dimiliki oleh GSH Precision Technology untuk mengukuhkan kerjasama penyelidikan dan pertukaran tenaga kepakaran antara satu sama lain.
Di samping itu, ia juga menyediakan peluang untuk pelajar USM menjalani latihan industri dalam meningkatkan kebolehpasaran pelajar USM.
Sesi penandatanganan tersebut telah disempunakan oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran yang mewakili Naib Canselor USM, bersama Ketua Pengarah Eksekutif GSH Precision Technology, Fong Hock Guan.
Turut hadir sebagai saksi adalah Pengarah Jaringan Industri, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Madya Dr. Shaizatulaqma Kamalul Ariffin dan Pengarah Operasi, GSH Precision Technology, Fong Wan Qi.
Azlan dalam ucapannya berkata, sebagai sebuah universiti penyelidikan terulung, USM komited untuk memastikan penyelidikan yang dijalankan memberikan manfaat kepada industri dan masyarakat, di samping membuka peluang kepada kedua-dua pihak untuk melaksanakan pemindahan ilmu serta meneroka penyelesaian inovatif.
“Saya yakin, dengan menggabungkan kepakaran akademik dan industri, kita mampu mencipta penyelesaian teknologi yang lebih efisien dan berkualiti, sekaligus memperkukuhkan daya saing industri pembuatan negara,” katanya lagi.
Sementara itu, Fong pula menyatakan bahawa beliau berharap agar kerjasama ini dapat membawa kejayaan kepada kedua-dua pihak dari segi usahasama penyelidikan dan pertukaran kepakaran untuk meningkatkan potensi kebolehpasaran pelajar USM dan seterusnya dapat membawa kemajuan kepada sektor pembuatan dan semikonduktor negara.
Persefahaman tersebut juga membuka peluang kepada penyelidik USM khususnya dari Pusat Pengajian Sains Komputer, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik untuk mengetengahkan penyelidikan termaju yang dijalankan di USM yang berpotensi untuk memperkasakan operasi dan strategi pembangunan teknologi syarikat.
Hadir bersama ialah Pengarah GSH Precision Technology, J Philip Vincent dan Dekan-dekan Pusat Pengajian yang terlibat.
Teks: Adlin Aina Jamaludin (pelajar latihan industri)/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: Shamil Shazwan Abu Bakar
- Created on .
- Hits: 142