469 PELAJAR ANTARABANGSA BAHARU MULAKAN MINGGU ORIENTASI DI USM
USM PULAU PINANG, 30 September 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC) telah menerima seramai 469 pelajar antarabangsa (pertukaran pelajar dan ijazah pertama sepenuh masa) pada hari pendaftaran diri di Dewan Pembangunan Siswa 1, KOMCA.
Hadir menyempurnakan program ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah Samat. Yang turut hadir adalah Yang Menjalankan Fungsi Pengarah IMCC, Profesor Dr. Lee Keat Teong; dan Timbalan Pengarah IMCC, Sr. Dr. Muneera Esa.
Narimah dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada pelajar antarabangsa yang mendaftar kerana menjadi sebahagian daripada keluarga besar USM.
“Anda akan mempelajari banyak perkara baru di USM dan saya yakin anda dapat mengikutinya dengan baik. USM merupakan platform terbaik untuk anda belajar dan gunakan peluang ini untuk menonjolkan diri anda sebagai seorang pelajar,” ujarnya.
Lee turut merakamkan ucapan tahniah dan selamat datang kepada semua pelajar antarabangsa baharu dan mengucapkan terima kasih kerana memilih USM sebagai destinasi pengajian tinggi yang seterusnya.
“Anda membuat pilihan yang tepat kerana memilih USM yang juga merupakan satu-satunya universiti berstatus APEX (Program Pemacuan untuk Kecemerlangan) dan juga merupakan antara lima universiti penyelidikan terbaik di Malaysia,” ujarnya.
Seramai 304 pelajar antarabangsa ijazah pertama sepenuh masa dari 12 negara dan 165 pelajar program pertukaran pelajar dari 15 negara hadir semasa hari pertama sesi pengenalan yang juga merupakan minggu orientasi pelajar Sidang Akademik 2024/2025.
Turut hadir memberi taklimat dan sesi perkongsian mengenai beberapa hal pengurusan jabatan universiti ialah Pegawai Perubatan Pusat Sejahtera USM, Dr. Sulosanah Sinnasamy; Pegawai Sektor Kepimpinan & Latihan, Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA USM, Hafiz Meah Ghouse Meah; Penolong Pendaftar Kanan, Unit Peperiksaan USM, Ahmad Imran Kamis; Pegawai Keselamatan, Jabatan Keselamatan USM, Firdaus Haji Husin; dan sukarelawan buddies pelajar di bawah lantikan pejabat IMCC.
Pelbagai aktiviti telah disusun selama tujuh hari oleh pihak IMCC USM di sepanjang minggu orientasi pelajar antarabangsa dengan mempelbagaikan usaha promosi bagi memastikan mereka dapat memahami kepelbagaian budaya dan pengalaman pembelajaran berada pada tahap yang terbaik.
Teks & Foto: NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
- Created on .
- Hits: 251