USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NC KUNJUNGI RUMAH PELAJAR BAHARU SALUR SUMBANGAN, USM PRIHATIN NASIB GOLONGAN MEMERLUKAN

PULAU PINANG, 29 September 2024 – Selaras dengan keprihatinan seluruh warga USM terhadap kepentingan melestarikan ilmu, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed hari ini turun padang mengunjungi rumah salah seorang pelajar baharu USM yang kurang berkemampuan bagi menyalurkan sumbangan.

b43bb8c0 d71f 4843 9265 37d6dcd575cb

Kunjungan Abdul Rahman bersama warga USM termasuk Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) kali ini adalah bagi membantu pelajar yang hidup serba kekurangan dan bergantung harap kepada wang pencen arwah bapanya yang telah meninggal dunia sejak 15 tahun lalu akibat serangan jantung.

Beliau berkata, USM telah menerima kira-kira 1,600 permohonan untuk mendapatkan bantuan di bawah inisiatif SULUNG, namun hanya 200 yang dipilih melalui saringan dan penilaian secara fizikal yang dibuat bagi melihat dengan lebih dekat kesusahan yang dialami oleh mereka yang kurang bernasib baik ini.

b4119ad0 0776 4356 82ad 775f527c22b0

“Program Siswa SULUNG ini mensasarkan generasi pertama dalam keluarga B40 yang dapat melanjutkan pengajian ke universiti dalam peringkat Ijazah Sarjana Muda.

“Bagi Sidang Akademik 2024/2025, USM mensasarkan seramai 200 orang pelajar dalam kategori siswa SULUNG dan ini akan memenuhi kuota sasaran Siswa SULUNG USM iaitu seramai 1,000 orang pelajar.

4a3d05ea d212 4a2a 9b48 c1fb7c08a29d

“Siswa SULUNG USM akan menerima manfaat pengecualian yuran iaitu semua kategori yuran, yuran berulang dan yuran tidak berulang. Hanya yuran penginapan dan kos sara hidup perlu ditanggung oleh pelajar sendiri. Walau bagaimanapun, siswa SULUNG disarankan untuk meminjam PTPTN sebagai sokongan kewangan untuk mereka meneruskan pengajian di USM dengan lebih kondusif,” ujar beliau lanjut.

Selain itu tambah beliau, Siswa SULUNG USM juga akan menerima bantuan Kit Keperluan Asas yang akan dapat membantu dan meringankan beban kewangan keluarga dalam menyediakan kelengkapan untuk persediaan masuk ke USM.

Abdul Rahman juga berkata, USM memperuntukkan kira-kira RM12 juta bagi membiayai yuran-yuran pelajar yang dipilih dalam program Siswa SULUNG.

2bfac593 e062 4fc7 bee0 627dc4100cda

“Kita berharap dengan keprihatinan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan semua yang terlibat secara bersama ini dapat membantu memperkasa golongan yang memerlukan ini.

“Di USM misalnya, fokus utama kita adalah melahirkan siswa/siswi yang kompeten dalam akademik, berkemahiran insaniah, mempunyai minda kelas pertama yang holistik, memenuhi permintaan industri, berketrampilan, mampu berfikir secara kreatif dan inovatif, agar mereka ini mampu mengubah nasib keluarga, menyumbang kepada komuniti, universiti dan semestinya kepada negera tercinta, Malaysia,” katanya.

67e03abf 4865 46b3 8221 095e6c03467f

Dalam pada itu, pelajar yang terpilih berkenaan, Syaidinatul Firzanah Zul Hisham, 19, menzahirkan keterujaannya untuk terus menimba ilmu dengan gigih bagi mengubah nasib keluarganya, apatah lagi terpillih melanjutkan pengajian di Universiti impiannya sejak kecil.

“Saya memang berazam hendak masuk USM dan alhamdulillah diterima. Terima kasih banyak kepada semua pihak khususnya USM yang banyak membantu memudahkan urusan saya untuk masuk mendaftar pada 4 Oktober depan,” ujarnya yang akan mendaftar sebagai pelajar pogram Ijazah Sarjana Muda Sains Dalam Kimia Dengan Kepujian.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md Isa  

  • Created on .
  • Hits: 324

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024