USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERAJUI PROGRAM ANAK KITA, BANTU KERAJAAN LAKSANAKAN REFORMASI SEKTOR PENDIDIKAN

PULAU PINANG, 29 September 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) dipertanggungjawabkan untuk menerajui Program Anak Kita, salah satu inisiatif utama kerajaan dalam reformasi sektor pendidikan yang mengutamakan akses dan peluang pendidikan yang lebih saksama.

81d5ebae 0579 4e41 8a4a 8b0289e80610

Program ini dijangka akan memberi impak positif yang berpanjangan terhadap pendidikan negara dan akan memacu peningkatan pencapaian akademik dan pembangunan profesional, sejajar dengan visi Ekonomi MADANI untuk masa depan pendidikan yang lebih cerah dan inklusif.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, Universiti komited dalam menjayakan program berkenaan melalui pelbagai pelaksanaan intervensi yang bertujuan untuk menjayakan kelestarian ekosistem pendidikan secara menyeluruh.

f499fe7b 2680 438a 810b f78cec531958

Katanya, melalui inisiatif ini, USM akan melaksanakan program DAYA JAYA SPM MADANI, yang mensasarkan 10,000 pelajar SPM 2025 daripada 274 buah sekolah di 8 negeri terpilih, serta program asas literasi dan numerasi REVOLUSI INTERVENSI MURID BACAAN ASAS (RIMBA), yang melibatkan 5,420 pelajar di Kelantan.

Selain itu katanya, program PECUTAN IMPIAN SPM 2024 dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi pelajar dalam mata pelajaran subjek lulus SPM bagi 10,000 pelajar SPM di seluruh negara.

158c4f48 1d22 4422 878b 73b7c7503788

“Program ini bukan sahaja dapat membantu murid, malah membuka 540 peluang pemerkasaan kompetensi siswa/siswi USM sebagai jurulatih, serta peluang pekerjaan kepada lepasan graduan seperti Guru Sokongan Pemulihan dan Pengurus Projek.

“Kita juga mempunyai rekod kejayaan yang memberangsangkan, antaranya adalah melalui Program Mantap SPM yang mana 100 peratus pelajar layak sijil, 95% peningkatan gred purata murid (GPM) dan 100% menerima penempatan laluan kerjaya selepas SPM,” ujar beliau lanjut.

Beliau berkata demikian selepas majlis Peluncuran Program Anak Kita: Semarak Potensi Malaysia yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri oleh Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

a629797d bcbe 4f14 bc79 7d4462c12364

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM, Profesor Dr. Azlan Amran; Pengarah Urusan Kumpulan USAINS, Farid Wajidi Mat Yusoff; dan Pegawai Peneraju Inovasi Sosial & Pemindahan Ilmu, BJIM.

Dalam pada itu, dengan pendekatan Whole-of-Nation, program Anak Kita ini menggabungkan usaha kolektif pelbagai pihak seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Yayasan Hasanah, Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO), universiti awam, syarikat korporat, serta organisasi antarabangsa. Ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 84,000 murid dari 3,500 sekolah di seluruh negara.

USM telah diberi mandat sebagai salah satu rakan kerjasama utama dalam menjayakan inisiatif ini dengan peruntukan sebanyak RM21 juta.

4ffdf578 2369 4478 98da 22b28b3e239b

Peranan USM dalam inisiatif ini melibatkan pelaksanaan tiga intervensi penting, yang bertujuan memastikan tiada murid tercicir dari sistem pendidikan, di samping menyediakan laluan akademik dan kerjaya yang lebih baik untuk masa depan mereka.

Usaha intervensi yang telah dijayakan USM turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan dan beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada USM kerana telah sama-sama membantu menjayakan inisiatif Program Anak Kita dan memuji pendekatan pengukuhan kumpulan kecil yang USM laksanakan.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 407

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024