USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SEDIA TERIMA DAN BANTU PELAJAR BAHARU TIDAK BERKEMAMPUAN UNTUK MENDAFTAR

2V4A2972 2

USM PULAU PINANG, 23 September 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) sedia menerima pelajar yang tidak berkemampuan untuk menyambung pengajian ke Universiti ini bagi memastikan hasrat mereka untuk ke menara ilmu berjaya direalisasikan.

Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, bagi menyokong usaha dalam mendokong hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melahirkan bakat terbaik negara, USM telah bersedia dengan pelbagai bentuk sumbangan bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh para pelajar yang mungkin terkesan.

“Antara bentuk bantuan yang disediakan termasuklah kesediaan untuk menerima pelajar mendaftar di USM tanpa sebarang bayaran melalui Program Pembangunan Siswa SULUNG 3.0.

“Manakala bakal pelajar lain yang tidak berkemampuan juga diberi peluang untuk mendaftar dahulu tanpa sebarang bayaran dan dengan kemudahan bayaran yuran secara ansuran mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Menurutnya lagi, dalam masa yang sama, USM juga akan menyalurkan bantuan lain menggunakan Tabung Kebajikan Pelajar, Tabung Zakat USM dan sebagainya.

"Jika ada mana-mana pelajar yang berada dalam kesusahan dan kebuntuan dalam mencari sumber kewangan untuk menyambung pengajian ke USM, pelajar dipohon untuk bersegera menghubungi Unit Kebajikan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM bagi membolehkan bantuan awal disalurkan," ujar lanjut Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di media sebelum ini yang meminta semua pentadbir universiti menerima masuk pelajar miskin dan daif serta menangguhkan kutipan yuran pendaftaran daripada penuntut berkenaan.

Zambry juga meminta universiti-universiti menguruskan bantuan awal pengajian melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi pelajar yang tidak berkemampuan.

Beliau berkata setiap mahasiswa yang ditawarkan tempat ke universiti tidak sepatutnya melepaskan peluang meneruskan pendidikan semata-mata kerana masalah kewangan.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 211

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024