PERSIDANGAN ICT4U 2.0, BINCANG HALA TUJU TRANSFORMASI DIGITAL DALAM SEKTOR PENDIDIKAN TINGGI NEGARA
PULAU PINANG, 19 September 2024 – Persidangan ICT for University 2024 (ICT4U 2.0), anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung dari 18 hingga 19 September 2024, berjaya dalam membincangkan hala tuju transformasi digital dalam sektor pendidikan tinggi negara.
Persidangan tersebut menyaksikan kehadiran Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) merangkap Ketua Pegawai Digital (CDO), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Mohamad Azhan Md. Amir untuk memberi ucapan seterusnya merasmikan majlis penutup program.
"Persidangan ini telah menyaksikan pembentangan topik-topik penting dalam era digital seperti Kecerdasan Buatan (AI), Infrastruktur Digital, Data Raya, Keselamatan ICT dan konsep Kampus Pintar.
“Ianya merupakan satu perkembangan yang sangat relevan dengan masa hadapan yang lebih inovatif dan berimpak tinggi," ujar Mohamad Azhan dalam persidangan yang bertemakan "Foresighting Digital Evolution for Sustainable Education" itu.
Di samping itu, beliau turut menegaskan kepentingan pelaksanaan Pelan Strategik Pendigitalan di setiap universiti sebagai langkah penting untuk meneraju transformasi serta penerimaan teknologi digital yang terkini.
Menurut Mohamad Azhan lagi, antara inisiatif yang diperkenalkan KPT dalam menyokong usaha ini adalah dengan membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015-2025) Pendidikan Tinggi di bawah Inisiatif 1 yang menumpukan pada peningkatan kapasiti rangkaian digital di institusi pendidikan melalui Malaysian Research and Education Network (MYREN).
“Oleh itu, saya ingin menyeru agar semua pegawai dan ketua ICT di universiti untuk berganding bahu dalam merealisasikan pendigitalan sepenuhnya di institusi masing-masing, demi mempertingkatkan keberkesanan pengurusan dan pentadbiran melalui teknologi maklumat,” tambah Mohamad Azhan.
Majlis penutup persidangan turut disertai Ketua Pegawai Digital USM, Dr. Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan, yang mana dalam ucapannya mewakili Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, menzahirkan rasa syukur kerana persidangan berjalan lancar dengan kerjasama padu semua pihak.
"Setiap sesi yang berlangsung selama dua hari ini saya lihat telah berjaya memperkasakan pengurusan digital di universiti dan agensi untuk kita semua bersedia dalam menghadapi cabaran serta peluang yang datang dengan revolusi digital ini," katanya.
Malah, beliau juga menegaskan pentingnya kerjasama berterusan dalam memastikan Institusi-institusi Pengajian Tinggi di Malaysia terus maju ke hadapan dalam era pendigitalan.
Firdaus turut berharap agar ilmu dan pandangan yang diperoleh sepanjang dua hari persidangan ini dapat dikongsikan bersama rakan-rakan di universiti dan agensi masing-masing, demi menyokong agenda pendigitalan negara.
Dianjur oleh Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi (PPKT) USM, persidangan ICT4U 2.0 ini berjaya menarik penyertaan 157 peserta dengan sejumlah 29 kertas kerja berjaya dibentangkan oleh 27 pembentang.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 155