SIMPOSIUM KEBANGSAAN ISLAM BINCANG ISU VAKSIN DARI PERSPEKTIF ISLAM
KUBANG KERIAN, 8 Jun 2015 - Perkembangan dan ledakan teknologi pada hari ini tidak dapat dielakkan oleh umat Islam di seluruh dunia yang membawa sama pelbagai isu termasuk dalam bidang perubatan yang memerlukan perhatian dan penyelesaian yang sewajarnya dengan terlebih dahulu berusaha memahami dalam perspektif syarak.
Menurut Pengerusi Simposium Islam 2015 yang diadakan di sini Dr. Mujahid Bakar, simposium ini bertujuan untuk memberi kefahaman serta menangani isu-isu yang timbul menurut perspektif hukum Islam dan perubatan moden.
Jelas Pensyarah Kanan Unit Sains Interdisiplin, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) itu pelbagai isu dikupas oleh para pembentang bagi merungkai isu seperti vaksinasi dengan integrasi ilmu-ilmu Syarak dan Sains Kesihatan yang diwakili oleh ahli akademik, pegawai-pegawai agama, ahli kesihatan profesional, persatuan orang ramai dan badan-badan korporat.
Simposium ini juga diharap dapat memberi pendedahan tentang vaksinasi dari perspektif syarak dan perubatan dengan memberi pendedahan kepada ahli profesional kesihatan terhadap kepentingan panduan syarak berkaitan isu vaksinasi.
Seramai 150 orang peserta menyertai simposium ini melibatkan pegawai-pegawai dari Kementerian Kesihatan Malaysia, pegawai-pegawai penyelidik dari jabatan agama Islam negeri, pegawai-pegawai istiadat Jabatan Mufti, pegawai-pegawai kesihatan negeri dan saintis dari institusi pengajian tinggi untuk berkongsi ilmu dan mengupas isu-isu yang berkaitan.
Simposium Kebangsaan Islam: Vaksin Daripada Perspektif Islam 2015 ini dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Dato' Hj Razali bin Shahabuddin.
"Kerjasama di antara USM dengan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kelantan (JAHEIK) melalui Akademi Fikah Perubatan dalam penganjuran simposium ini adalah permulaan yang baik bagi semua pihak untuk terus menjalin kerjasama yang lebih erat bagi merungkai permasalahan isu-isu yang berkaitan dengan perubatan dan kesihatan serta menjadi model untuk penubuhan sekretariat di setiap jabatan agama di Malaysia untuk membantu kerajaan melaksanakan prinsip Syariah dalam perkidmatan kesihatan di Malaysia," katanya.
Antara fokus perbincangan ialah usaha mewujudkan penanda aras kepada pengamal perubatan dalam mengaplikasikan penggunaan vaksin selaras dengan tuntutan syarak yang meliputi Maqasid Syariah Dalam Vaksinasi, Fatwa-Fatwa Vaksin di Malaysia, Salur Galur Penghasilan Vaksin Harapan Pengguna Malaysia Terhadap Vaksin, Penentuan Produk Halal dan Haram di Pasaran, Sejarah, Harapan dan Masa Depan Vaksin di Malaysia.
"Adalah menjadi harapan saya agar simposium ini dapat memberikan peluang dan ruang kepada semua peserta untuk bertukar-tukar pendapat dan idea baru ke arah mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan di Malaysia yang berlandaskan syariah Islam," kata Razali.
Turut hadir adalah Pengarah JAHEIK Dato' Hj Che Mohd Rahim Hj Jusoh, Pengarah Hospital USM yang mewakili Pengarah Kampus Kesihatan Dato' Dr. Zaidun Kamari dan Timbalan Dekan (Akademik) PPSK Profesor Madya Dr. Pim Chau Dam. - Teks: Mohamad Iqmal Mathlan/Foto: Mohd Hafiz Yaacob & Wan Salizawati
- Created on .
- Hits: 1488