USM KOMITED UNTUK PERKASAKAN PEMBELAJARAN BERASASKAN KOMUNITI MELALUI SULAM
USM PULAU PINANG, 15 September 2024 – Dalam usaha Universiti Sains Malaysia (USM) untuk memperkasakan pembelajaran berasaskan komuniti dalam kalangan mahasiswa, Pusat Rancangan Kokurikulum (PRK) USM dengan kerjasama Bahagian Akademik dan Antarabangsa (BAA) USM telah menganjurkan Bengkel Advokasi Inisiatif Service Learning Malaysia - University for Society (SULAM) di kampus induk USM baru-baru ini.
Bengkel yang diadakan di Balai Pese’ban Agung, Pusat Pengajian Seni, USM pada 11 September 2024, telah menghimpunkan lebih 69 peserta dari 25 pusat pengajian meliputi ketiga-tiga kampus USM (Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan, dan Kampus Kesihatan) dengan matlamat utama untuk memperkukuhkan pemahaman serta memperkasakan pelaksanaan SULAM di peringkat universiti.
Para peserta terdiri daripada Dekan, Timbalan Dekan (Akademik, Antarabangsa & Kerjaya), serta para pensyarah.
Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum USM, Profesor Madya Dr. Mohamad Haafiz Mohd Kassim, dalam ucapan perasmiannya, menekankan semula kepentingan SULAM, yakni satu inisiatif yang sangat penting dan bermakna yang menggabungkan pembelajaran akademik dengan khidmat masyarakat.
Mohamad Haafiz berkata, program ini bukan sahaja membantu pelajar untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari di bilik kuliah di dalam dunia sebenar, tetapi juga menggalakkan mereka untuk membangunkan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi, dan empati.
“Lebih daripada itu, melalui SULAM, kita dapat menyaksikan bagaimana penglibatan pelajar dalam komuniti dapat menyumbang secara langsung kepada penyelesaian permasalahan sebenar dalam masyarakat,” katanya.
Katanya lagi, “Dengan ilmu dan bimbingan yang diperoleh hari ini, saya yakin penyelaras SULAM di setiap PTJ dapat berperanan sebagai pemudahcara/fasilitator yang berkesan dalam menggerakkan SULAM di PTJ masing-masing.”
Mohamad Haafiz turut merakamkan penghargaan kepada dua penceramah jemputan, Profesor Dr. Rosna Awang Hashim dan Profesor Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris daripada Jawatankuasa Strategik SULAM, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang berkongsi kepakaran dan pandangan mereka mengenai SULAM dengan para peserta bengkel.
Dalam pada itu, Dr. Noor Alyani Nor Azazi, selaku Pengerusi Rancangan Khidmat Komuniti dan Penyelaras SULAM USM yang bertindak sebagai pemudahcara bengkel ini, berkata, “Semoga bengkel ini menjadi pemangkin kepada usaha kita untuk memperkasakan pembelajaran berasaskan komuniti di USM dan seterusnya memberi impak positif kepada pembangunan sahsiah pelajar dan kesejahteraan komuniti.
Turut hadir ialah Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar USM, Profesor Dr. Azizah Omar; serta Shafika Mohd Nor dari Bahagian Kecemerlangan Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT).
Teks asal: Syuhada Omar/Foto: Ahmad Hazeeq Roslan (Pusat Rancangan Kokurikulum USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 311