USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SYARAHAN UMUM PELANTIKAN PROFESOR: MEMPERKASA PROFESION KERJA SOSIAL DARI PERSPEKTIF DATUK PROF. DR. AZLINDA AZMAN

PULAU PINANG, 20 September 2024 – Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi dan mantan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, hari ini menyampaikan syarahan umum bertajuk "Menelusuri Dunia Profesion Kerja Sosial” di Dewan Pelinggam Cahaya, USM.

WhatsApp Image 2024 09 20 at 15.22.40

Dalam syarahannya, Azlinda yang juga mantan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) ini menekankan bahawa kerja sosial adalah satu profesion penting yang bertujuan meningkatkan kefungsian sosial individu, keluarga, kumpulan dan komuniti.

Beliau menjelaskan perbezaan antara kerja sosial, kerja amal, dan kebajikan sosial, sambil menggariskan peranan unik pekerja sosial sebagai pengurus kes, advokator, dan penghubung dalam masyarakat.

WhatsApp Image 2024 09 20 at 15.22.39 1

WhatsApp Image 2024 09 20 at 15.22.38

Azlinda menegaskan, "Pekerja sosial mesti berpegang teguh kepada nilai dan etika kerja sosial, termasuk prinsip keadilan sosial, hak asasi manusia, dan komitmen terhadap perubahan positif dalam masyarakat."

"Dengan kefahaman mendalam mengenai konteks sosial dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat, pekerja sosial memainkan peranan penting dalam memperkasakan golongan yang memerlukan, mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik, dan memupuk kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan,” tambah beliau lagi.

WhatsApp Image 2024 09 20 at 15.22.39

Azlinda yang memulakan kerjaya di USM pada 2005, turut memperincikan sejarah perkembangan kerja sosial, dari permulaannya pada akhir abad ke-19 di Amerika Syarikat, hingga ke Malaysia, di mana ia mula diperkenalkan secara formal pada tahun 1930-an.

Beliau menjelaskan bahawa di Malaysia, perkembangan awal kerja sosial mula dirintis pada tahun 1930-an, dengan perkenalan formalnya sebagai satu profesion pada tahun 1946 melalui penubuhan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.

WhatsApp Image 2024 09 20 at 15.22.52

Jabatan ini memainkan peranan penting dalam memberi khidmat kebajikan kepada masyarakat, terutama dalam kalangan golongan miskin dan terpinggir.

Syarahan ini menarik perhatian warga universiti dan golongan professional dengan kehadiran seramai 300 orang, dengan penekanan terhadap evolusi dan cabaran yang dihadapi oleh profesion kerja sosial di Malaysia.

Azlinda turut menggariskan usaha Malaysia ke arah memperkasakan profesion kerja sosial melalui penggubalan Akta Pekerja Sosial yang kini dalam proses.

Beliau menegaskan bahawa undang-undang ini penting bagi mengawal selia pendidikan dan praktis kerja sosial, meningkatkan akauntabiliti pekerja sosial, dan menjamin perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat.

“Pekerja sosial kini berhadapan dengan cabaran pasca-pandemik seperti peningkatan beban kerja, kelesuan, dan kekurangan sokongan psikososial.”

Namun begitu, beliau optimis, “Langkah-langkah seperti peningkatan Pendidikan, Latihan berterusan, dan kerjasama rentas sektoral dapat membantu memajukan profesion kerja sosial di Malaysia.”

USM menjadi universiti pertama di Malaysia yang menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial pada tahun 1975, dan sejak itu terus memainkan peranan utama dalam membangunkan program pendidikan kerja sosial yang berlandaskan kompetensi.

Sehingga kini, lebih 9,110 graduan telah dihasilkan dalam bidang ini dari pelbagai universiti di Malaysia, dengan USM menerajui usaha untuk memperkasakan profesion ini.

WhatsApp Image 2024 09 20 at 15.22.38 1

Di akhir syarahannya, Azlinda menyeru agar masyarakat dan kerajaan memberikan sokongan yang lebih kuat terhadap usaha penggubalan Akta Pekerja Sosial.

Menurut beliau, akta ini penting untuk memastikan pekerja sosial di Malaysia diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa, sambil menangani cabaran praktikal yang dihadapi oleh profesion ini, di samping menekankan bahawa pendidikan kerja sosial perlu dipertingkatkan untuk melahirkan pekerja sosial yang lebih kompeten dalam menghadapi isu-isu sosial yang semakin kompleks demi kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

WhatsApp Image 2024 09 20 at 15.22.37

Turut hadir dalam program ini adalah Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, secara dalam talian; Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Timbalan-timbalan Naib Canselor; barisan pengurusan tertinggi KPT dan USM; pegawai utama USM; serta personaliti TV tanah air yang juga adik kepada Azlinda, Azwaliza Azman.

Teks: Shafinaz Md Ismail/Foto: Mohd Fairus Md Isa & Shamil Shazwan Abu Bakar

  • Created on .
  • Hits: 231

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024