KONTINJEN STAF USM RAIH TEMPAT KE-3 KATEGORI IPT DI PERARAKAN HARI KEBANGSAAN PULAU PINANG 2024
PULAU PINANG, 17 September 2024 – Kontinjen Staf Universiti Sains Malaysia (USM) meraih tempat ketiga daripada tujuh (7) kontinjen dalam Kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Perbarisan dan Perarakan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung pada 31 Ogos 2024 di Padang Kota Lama.
Menerusi perarakan dengan tema ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’, kontinjen yang dianggotai oleh 58 staf dari Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) berjaya menonjolkan semangat patriotik dan kesatuan melalui penyertaan mereka.
Staf yang terlibat terdiri daripada pelbagai gred dan skim, membuktikan komitmen mereka dalam menyokong acara kenegaraan.
Pengiktirafan ke atas pencapaian kontinjen ini disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang di Majlis Sambutan Hari Malaysia 2024 yang diadakan di Dewan Millenium, Kepala Batas, pada 16 September 2024.
Pegawai Psikologi Kanan di Unit Perhubungan Staf, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar USM, Norazlinda Muda selaku Penyelaras Program berkata, "Acara perbarisan ini memperkukuhkan rasa cinta kepada negara dalam kalangan staf universiti serta menjadi platform untuk meningkatkan kerjasama dan semangat berpasukan antara staf dari pelbagai kampus.”
“USM komited untuk terus melibatkan warga universiti dalam acara kenegaraan selaras dengan aspirasi ‘Malaysia MADANI,” ujar beliau lagi.
Sebagai rekod, selain kontinjen USM, 7 kontinjen lain yang turut bertanding bagi kategori IPT adalah Komander Kesatria UiTM, PPKK & ILKKM (Georgetown), Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara, KITAB, PERDA-TECH dan Kolej Matrikulasi.
Perarakan Hari Kebangsaan tahun ini disertai oleh pelbagai agensi kerajaan, institusi, dan organisasi dari seluruh negeri dalam usaha merai dan memperingati detik bersejarah negara.
Teks & Foto: Jabatan Pendaftar USM/Suntingan: Shafinaz Md Ismail
- Created on .
- Hits: 150